SURABAYA – Jaguh pecut 100 meter (m) kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi sedia untuk memberikan segala-galanya pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula 26 Julai ini sekiranya ditawarkan tiket wildcard oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Badan induk sukan olahraga Malaysia itu dijangka membuat keputusan esok sama ada untuk memberikan tiket wildcard tersebut kepada Azeem ataupun atlet 400m wanita negara, shereen Samson Vallabouy.
Meskipun menyuarakan keinginan untuk beraksi di pentas tertinggi dunia, namun atlet berusia 20 tahun itu sedia menerima apa jua keputusan yang bakal dibuat KOM berhubung tiket wildcard berkenaan.
“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi walaupun berbagai-bagai perkara bermain di fikiran. Apa sahaja keputusan, saya akan akur dan bersyukur dengan keadaan, mungkin ada sebab tertentu mengapa saya tidak berjaya lakukan apa-apa tahun ini.
“Kalau ada peluang untuk beraksi di Olimpik, sudah tentu saya akan berusaha lebih keras. Jika tidak dapat (ke Olimpik), saya akan berikan fokus ke arah temasya Sukma (Sukan Malaysia) nanti,” kata atlet yang berpangkalan di Auburn University, Amerika Syarikat (AS) itu.
Pada aksi final 100m Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Lapangan Atletik Universitas Negeri Surabaya (Unesa) di sini, sebentar tadi, Azeem sekadar meraih perak menerusi catatan masa 10.37 saat (s).
Sementara itu, emas menjadi milik jaguh tuan rumah, Lalu Muhamad Zohri yang mencatat 10.19s manakala gangsa milik seorang lagi atlet Indonesia, Jaelani Fatah Sidik dengan catatan masa 10.59s.
“Hari ini, saya lakukan larian yang baik tetapi bukan aksi terbaik. Syukur kerana dapat tamatkan saingan di kedudukan podium walaupun itu bukanlah apa yang disasarkan kerana saya mahu hadiahkan emas untuk Malaysia.
“Rezeki hari ini mungkin untuk pingat perak sahaja. Insya-Allah saya nak bawa aksi positif ini untuk acara 4x100m dan 200m nanti,” ujar Fahmi.
Dalam pada itu, atlet lempar cakera wanita, Queenie Ting mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Ubon Ratchathani, Thailand dua tahun lalu apabila sekali lagi muncul juara dalam acara tersebut.
Atlet berusia 26 tahun itu memastikan emas menjadi miliknya selepas melakukan lontaran sejauh 45.23 meter (m) menewaskan dua atlet tuan rumah, Wahyu Nur Aini (43.14m) dan Maria Aviliationo (42.47m).
Selain Quuenie, atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar turut menyumbang emas buat kontinjen negara selepas muncul pemenang menerusi jarak lompatan 7.46m, menewaskan atlet Indonesia, Arifianto Firmansyah (7.42m) manakala gangsa milik Xaidavanh Vongsavanh (7.23m) dari Laos. – KOSMO! ONLINE