fbpx

Susu getah masuk sawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja menyedut tumpahan sisa susu getah yang tumpah di tepi KM41.2 di Alor Setar dijangka mengambil masa sehingga tiga hari untuk selesai.

ALOR SETAR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sehingga kini menggunakan tiga lori untuk mengangkut sisa susu getah yang tumpah daripada sebuah treler akibat kemalangan di sini pada Sabtu lalu.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, susu getah atau lateks itu tumpah selepas kenderaan berat tersebut terbabas ke kawasan parit di Kilometer 41.2 Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Hutan Kampung ke Alor Setar Utara kira-kira pukul 6.40 petang.

Kata beliau, treler berkenaan dalam perjalanan membawa muatan susu getah dari Hatyai, Thailand ke Pelabuhan Pulau Pinang.

“Hasil pemeriksaan dianggarkan 40,000 liter susu getah telah tumpah sepenuhnya daripada kontena kenderaan berkenaan dan memasuki parit berhampiran.

“Anggaran jajaran parit yang terlibat pada peringkat awal adalah 300 meter dan hasil susulan semalam mendapati ia telah mengalir sehingga lebih 500 meter di kiri dan kanan dengan sebahagian memasuki sawah,” katanya di sini hari ini.

Katanya, tindakan awal diambil oleh Syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) dan Plus Malaysia Berhad (Plus) pada hari kejadian bagi meminimumkan pengaliran sisa tumpahan susu getah serta mengelakkan ia sampai ke sungai berdekatan.

“⁠Syarikat kontraktor dari Pulau Pinang telah dilantik dan membuat pengepaman keluar sisa susu getah yang bercampur air mulai pagi semalam selepas kerja-kerja pengalihan lori selesai dibuat pada Ahad lalu.

“Buangan itu dihantar ke premis kitar semula getah yang berlesen dengan JAS di Pulau Pinang dan setakat semalam, sebanyak tiga lori digunakan untuk mengangkut sisa getah yang dipam dengan jumlah keseluruhan 36 tan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI