fbpx

Sahih atau tidak perkahwinan Bakri Zinin, Cleopatra diketahui 14 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bakri (gambar kecil). Nur Fathiah dan peguam syarienya keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini. Foto Saddam Yusof/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 14 Ogos ini bagi keputusan berhubung kesahihan pernikahan dan sijil nikah Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau Cleopatra dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cleopatra, 30, selaku pemohon pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat yang dibuat dalam kamar hari ini.

“Sepatutnya hari ini adalah keputusan kes itu, namun mahkamah menangguhkan pada 14 Ogos ini. Keputusan itu berkaitan sama ada wujud atau tidak perkahwinan itu,” kata peguam itu.

Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd. Bakri, 70, selaku responden turut mengesahkan tarikh keputusan kes itu.

Sebelum ini pada prosiding terdahulu, Nur Fathiah yang juga seorang pempengaruh menafikan dia pernah bernikah dengan pesara polis tersebut.

Katanya, dia terkejut sebaik menerima sijil pernikahan dari negara jiran, sedangkan tidak pernah berkunjung ke sana dan berkahwin dengan bekas pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia itu.

Atas sebab itu, bekas calon bebas Parlimen Batu, Pilihan Raya Umum Ke-15 itu memfailkan permohonan di mahkamah bagi mendapatkan jawapan kesahihan pernikahan dan sijil nikah yang diperoleh.

Tambahnya, sebelum kes dibawa ke mahkamah, kes tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Badan agama itu kemudian mengesahkan sijil nikah tersebut adalah palsu.

Pada Oktober tahun lalu, Nur Fathiah menyangkal dakwaan beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan Mohd. Bakri.

Nur Fathiah berkata, bekas pegawai polis itu bukan pengerusi anak syarikat miliknya.

Sebelum itu, Nur Fathiah memuat naik gambar dia dan Mohd. Bakri di Instagram sewaktu mereka menghadiri konsert Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto.

Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen, malah gambar itu turut menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI