fbpx

Sabah, Kelantan antara negeri miskin tegar tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Empat negeri ketika ini mempunyai peratusan kemiskinan tegar yang lebih tinggi melebihi paras nasional iaitu Sabah, Kelantan, Sarawak dan Kedah.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, peratus kemiskinan tegar di Sabah adalah sebanyak 1.2 peratus, Kelantan (0.8), Sarawak (0.4) dan Kedah (0.3).

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar dana bagi melaksanakan program menangani kemiskinan di bawah pelbagai kementerian dan agensi antaranya meliputi program-program keusahawanan, modal insan, program peningkatan pendapatan lain untuk ketua isi rumah (KIR) miskin tegar.

Antaranya seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Usaha Kasih Madani di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).

“Sebagai contoh, bagi negeri Kelantan, program IPR telah memberi limpahan manfaat kepada 315 isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 melalui program Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan pendekatan basmi miskin tegar (BMT).

“Terdapat peserta yang telah berjaya meraih hasil jualan bulanan berjumlah RM21,900 pada bulan Januari 2024 melibatkan mesin layan diri yang beroperasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN- Pasir Mas) yang mahu Kerajaan menyatakan langkah yang telah dilakukan untuk mencapai sifar miskin tegar di negeri-negeri terlibat.

Mengulas lanjut, Hanifar Hajar berkata, kerajaan juga turut memberi tumpuan kepada ahli isi rumah (AIR) sebagai kaedah dalam membantu keluarga mereka keluar daripada belenggu kemiskinan serta mengurangkan masalah kemiskinan bergenerasi.

Antara lain katanya, AIR diberikan latihan dalam kerja (on-the-job traning) serta latihan kemahiran yang bersesuaian bagi memastikan kemahiran mereka menepati keperluan pasaran semasa.

“Sebagai contoh, Kerajaan melaksanakan program padanan pekerjaan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai usaha untuk memastikan golongan sasar miskin tegar mendapat pekerjaan sekaligus keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Kerajaan juga turut menyalurkan bantuan tunai khas secara bulanan kepada isi rumah yang tidak berkemampuan untuk menjana pendapatan bagi memastikan mereka terkeluar dari miskin tegar seperti yang dilaksanakan di bawah Skim Bantuan Kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI