fbpx

Rating Salam Baitullah meroket satu kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MD Shahri menegaskan ada banyak faktor rating program Salam Baitullah mencanak naik tahun ini. - SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Meskipun terpalit pelbagai isu, Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan mendedahkan rating program Salam Baitullah musim ke-16 meningkat satu kali ganda.

Bukan itu sahaja, Md Shahri Saripan, 47, berkata, peningkatan ketara juga ditunjukkan dalam platform media sosial dan Over-The-Top (OTT).

“Sebenarnya rating televisyen sama macam tahun lepas cuma kali ini meningkat satu kali ganda iaitu antara 1 juta hingga 1.5 juta.

“Peningkatan paling ketara adalah dalam platform media sosial iaitu 3.4 juta tontonan. Apatah lagi bila kami buat kuiz, sambutan sangat menggalakkan, majoriti yang masuk umur 40 tahun ke bawah.

“Salam Baitullah bukan sahaja ditonton penonton kawasan kampung, bahkan mampu menarik perhatian orang bandar, kami berusaha untuk tingkatkan rating ini daripada masa ke semasa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya sama ada rating tersebut mencanak disebabkan kontroversi mengaitkan pendakwah Ustaz Don Daniyal yang direhatkan daripada program terbabit, Shahri tidak menafikan perkara itu namun dalam masa sama menegaskan pengisian program juga merupakan antara faktor penyumbang.

“Betul, perkara tersebut sedikit sebanyak mempengaruhi rating tapi apa yang mahu saya tampilkan di sini, kemelut yang berlaku dalam program ini memberi kutipan dan catatan tinggi daripada segi jualan membabitkan produk oleh penaja.

“Daripada maklum balas penaja, jualan mereka naik mendadak antara 50 hingga 70 peratus sepanjang tempoh program ini disiarkan. Namun, bukan sebab isu itu sepenuhnya sebaliknya disebabkan pengisian dibuat.

“Tahun ini antara penganjuran Salam Baitullah yang terbaik dan mencatat rating tinggi malah pertama kali dianjurkan di luar studio iaitu Masjid Putra, Putrajaya dan itu juga penyumbang kepada rating,” ujarnya.

Paling penting kata Shahri, pulangan penganjuran program terbabit kali ini melebihi apa yang dibelanjakan.

Enggan isu lama berulang pada tahun hadapan, Shahri berkata pihaknya akan lebih teliti dalam pemilihan hos serta pengisian program.

“Segalanya akan diperincikan termasuk pemilihan hos supaya lebih diterima khalayak. Untuk menyasarkan 40 tahun ke atas, kita kena letak pengacara yang sesuai dengan usia sedemikian.

“Sebenarnya, sebelum memulakan Salam Baitullah tahun ini, kami dah buat tapisan dua bulan awal terhadap pihak berautoriti sama ada mereka boleh bersiaran atau tidak.

“Selepas perkara ini menjadi isu, kami mengambil langkah agar tidak berlanjutan, mungkin akan datang kami boleh panggil semula (Ustaz Don) atau melihat ustaz lain. Kami yakin ramai lagi ustaz yang boleh diketengahkan bukan sahaja sebagai hos tetapi juga panel,” tutupnya.

Sebelum ini, nama program Salam Baitullah meledak apabila hosnya, Ustaz Don direhatkan selama seminggu daripada program tersebut selepas mengupas kisah kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang dikatakan tanpa sokongan dalil sah.

Bagaimanapun selepas sehari dibenarkan bersiaran, timbul pula kontroversi terbaharu sehingga menyebabkan tugasnya ditamatkan serta merta. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI