PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menyifatkan tugas Harimau Selatan masih belum selesai biarpun memiliki bekalan selesa setelah membelasah Malaysian University 5-0 pada aksi suku akhir pertama Piala FA malam kelmarin.
Walaupun atas kertas nampak mustahil buat pasukan Ridzuan Abu Shah untuk mempamerkan kebangkitan pada aksi timbal balik nanti, Bidoglio enggan mendabik dada dan menuntut pemain kekal komited beraksi di atas padang.
“Walaupun mempunyai kelebihan setelah menang 5-0, kami perlu kekal fokus kerana apa sahaja boleh berlaku di atas padang dan saya mahu pastikan rentak kemenangan diteruskan pada 5 Julai nanti.
“Kami juga berdepan kesukaran pada babak pertama perlawanan itu setelah benteng pertahanan lawan cukup padat dan tidak memberi ruang kepada JDT untuk membuat gerakan.
“Di babak kedua, kami mula temui rentak serangan dan berjaya membuka ruang untuk melakukan percubaan ke arah gol, dari situlah kami dapat sentuhan penyudah untuk menjaringkan empat gol,” katanya.
Bidoglio turut memuji aksi pasukan Liga A1 Semi Pro setelah berjaya memaksa anak-anak didiknya bekerja keras dan perlu melakukan beberapa pertukaran pemain bagi meningkatkan tempo permainan.
Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, keputusannya yang membariskan pemain simpanan yang jarang beraksi dalam kesebelasan utama bagi membolehkan mereka mendapat keyakinan diri dalam aksi sebenar dan sentiasa bersedia diturunkan dalam apa jua perlawanan.