fbpx

Pestabola Merdeka: Malaysia sah jemput Tajikistan, Lebanon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Skuad negara mengharapkan penganjuran Pestabola Merdeka 2024 akan memberi tuah dalam usaha muncul juara kali ini.

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan negara Lebanon, Filipina dan juara bertahan, Tajikistan akan bersama Harimau Malaya dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2024 pada September depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, kejohanan jemputan berprestij itu akan dilangsungkan ketika kalendar FIFA bermula 2 hingga 10 September depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kata Noor Azman, empat pasukan terbabit akan diundi bagi menentukan lawan masing-masing pada perlawanan pertama iaitu separuh akhir satu dan dua dengan pemenang akan beraksi di final.

“Ini kali pertama Pestabola Merdeka berjaya dianjurkan secara berturut-turut selepas tempoh 16 tahun.

“Kali terakhir ia diadakan berturut-turut pada 2006, 2007 dan 2008 sebelum ia diadakan pada 2013 dan kembali selepas 10 tahun penganjurannya pada edisi tahun lalu, 2023.

“FAM berharap penyokong Harimau Malaya dapat bersama memeriahkan lagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 dengan hadir ke Stadium Nasional memandangkan edisi ke-43 ini berlangsung ketika sambutan bulan kebangsaan iaitu selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September,” katanya dalam satu kenyataan.

Tajikistan yang muncul juara Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan Malaysia 2-0 berada di ranking ke-102 dunia, manakala Lebanon (112) dan Filipina ke-147 dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI