fbpx

Nisbah satu doktor bagi 400 penduduk mampu dicapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sasaran nisbah satu doktor untuk 400 penduduk pada tahun 2025 mampu dicapai melalui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi bilangan doktor di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk di hospital.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan Petunjuk Kesihatan Tahun 2023 yang dikeluarkan oleh KKM, nisbah doktor kepada penduduk pada tahun 2022 telah mencapai nisbah satu doktor kepada 412 penduduk.

“Antara inisiatif yang telah dan sedang dijalankan ialah meningkatkan slot latihan siswazah di KKM daripada 10,835 pada tahun 2013 kepada 12,198 slot pada tahun 2024 bagi tujuan latihan siswazah perubatan.

“Kita juga menawarkan skim perubatan mempunyai gred dan gaji yang lebih menarik selain memberikan elaun lain yang terdapat hanya dalam skim perubatan seperti bayaran insentif pakar, elaun lokum dan elaun tugas atas panggilan.

“KKM juga menyediakan peluang yang lebih menarik untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat kepakaran dan subkepakaran sama ada mereka tetap atau kontrak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (PH – Pekan) yang ingin tahu apakah faktor tiada pengambilan doktor pelatih di hospital daerah seluruh negara.

Jelasnya, sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atas nisbah 1:412 itu akan terus kita perbaiki, namun jika dibandingkan jumlah itu jauh lebih baik berbanding nisbah satu doktor kepada 758 penduduk pada tahun 2012.

Sebagai perbandingan, Singapura mempunyai nisbah 1:270, UK 1:357, Australia 1:270, Austria 1:192, Thailand 1:1,111, dan Indonesia 1:1,400.

Tambah beliau, KKM juga sedang dalam peringkat akhir bagi memperhalusi beberapa polisi baharu berkaitan pelantikan dan penempatan anggota kesihatan KKM melalui program Reformasi Sumber Manusia yang akan diumumkan dalam masa terdekat.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI