fbpx

Nbioshowcase 2024 sasar pelaburan RM1.32 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lih Kang (tengah) dan Nora (kiri) pada majlis pembuka tirai dan sidang akhbar Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menyasarkan pelaburan baharu bernilai RM1.32 bilion pada Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan (Nbioshowcase) 2024 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Julai ini.

Agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu turut menyasarkan jumlah sumbangan pendapatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM2 bilion oleh industri bioteknologi dan berasaskan bio tahun untuk tahun 2024.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sasaran pelaburan dan pendapatan itu mampu dicapai berdasarkan perkembangan serta kerjasama signifikan yang disaksikan dalam sektor kesihatan, perindustrian dan pertanian berasaskan bioteknologi di Malaysia setakat ini.

“Dari Januari hingga Mei 2024, syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia telah merekodkan sejumlah RM838 juta pelaburan baru dan pendapatan RM1.5 bilion,” katanya pada Majlis Pembuka Nbioshowcase 2024 di sini, hari ini.

Nbioshowcase 2024 yang membawa tema ‘Bioekonomi untuk Semua’ menghimpunkan lebih daripada 80 pempamer dengan jangkaan 4,000 pelawat termasuk dalam kalangan pelajar, orang awam, usahawan, syarikat-syarikat swasta dan korporat, syarikat berkaitan kerajaan serta institusi penyelidikan.

Acara berkenaan, yang dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menyaksikan pertukaran 11 memorandum persefahaman dan kerjasama antara penggerak industri bioteknologi dari sektor awam dan swasta, yang turut melibatkan pihak dari luar negara.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Bioeconomy Corporation, Nora Mohamed berkata, Nbioshowcase merupakan platform untuk memperluaskan peluang perniagaan dan pertumbuhan, mewujudkan perangkaian bersama pelbagai pihak, serta mempromosikan peluang pekerjaan dan pembangunan bakat dalam bidang bioteknologi dan berasaskan bio.

“Antara tarikan utama acara ini ialah tawaran peluang pekerjaan dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio, yang mana 15 buah syarikat akan mengadakan sesi temuduga terus, melibatkan sekitar 130 peluang pekerjaan untuk pelbagai jawatan termasuk penyelidik.

“Setakat ini, hampir 17,000 pekerjaan telah disediakan oleh syarikat-syarikat berstatus BioNexus, Bio-based Accelerator (BBA), serta syarikat-syarikat bioteknologi berimpak tinggi di Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI