MELAKA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan peruntukan sebanyak RM34.09 juta kepada Melaka bagi memajukan sektor agromakanan.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, bantuan tersebut diberikan di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Ke Arah Keterjaminan Makanan Negara.
Katanya, ia termasuklah bagi membantu pelaksanaan projek-projek agromakanan negeri antaranya menaik taraf Kompleks Teknologi Pertanian Sungai Udang, Penternakan dan Pembenihan lkan Air Tawar serta Projek Sekuriti Makanan Pertanian Melaka.
“Sebanyak RM21.3 juta daripada diperuntukan tersebut akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri.
“Bantuan ini adalah sebagai menghargai pengorbanan dan peranan para peladang, penternak serta nelayan di negeri Melaka, sekali gus memastikan keterjaminan bekalan makanan berkualiti kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Program Libat Urus Bersama Warga Peladang, Penternak Dan Nelayan Negeri Melaka di Telok Mas di sini, hari ini.
Dalam pada itu ditanya mengenai kerugian ditanggung oleh penternak kupang di negeri ini susulan larangan penjualan hasil laut berkenaan sejak April lalu, beliau memberitahu pihaknya akan mengkaji bantuan bersesuaian kepada golongan berkenaan.
“Kita perlu pentingkan kesihatan pengguna namun pada masa sama kita berusaha untuk membantu pengusaha kupang yang terkesan ekoran larangan ini.
“Ini termasuklah melihat (penggunaan) tabung-tabung bencana yang ada di mana kita boleh bantu untuk metigasikan (mengurangkan) kerugian, sama ada ia secara tajaan dan sebagainya kita akan kaji,” katanya.
Kosmo! pada 11 Jun lalu melaporkan seramai 33 nelayan dan penternak kupang di Pengkalan Sebatu dekat sini mendakwa mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit kerana tidak dapat menjual ternakan kupang sejak tiga bulan lalu. – KOSMO! ONLINE