PETALING JAYA – Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan beliau berjaya menuai hasil sebanyak 40 kilogram (kg) ikan tilapia yang diternak beliau menerusi kolam di halaman rumah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, hasil tuaian tersebut diperolehi hasil dari penternakan ikan sungai itu setelah genap dua bulan pembelaan.
“Hari ini genap dua bulan saya menternak ikan tilapia di dalam kolam di halaman rumah dengan bantuan dan tunjuk ajar dari Aquaculture Resource Centre.
“Saya cukup teruja kerana ini merupakan tuaian kali pertama setelah dua bulan menternak ikan tilapia.
“Alhamdulillah selepas dibuat pengkelasan, kami mendapat 40 kg ikan tilapia yang cukup besar dan boleh dipasarkan dengan berat purata seekor mencecah 300 gram,” jelasnya di media sosial Facebooknya hari ini.
Beliau turut menasihati agar lebih amai lagi rakyat Malaysia menceburi bidang aquakultur tersebut kerana menjamin pulangan yang lumayan.
“Saya menyarankan agar lebih ramai yang menceburkan diri dalam bidang aquakultur ini kerana ia menjanjikan pulangan yang cukup berbaloi,” katanya. – KOSMO! ONLINE.