BERDASARKAN statistik terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah gelandangan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun terakhir ini berada dalam keadaan yang membimbangkan.
Malah, di Kuala Lumpur mencatatkan jumlah gelandangan tertinggi iaitu melebihi 1,000 orang. Golongan ini biasanya bertumpu di kawasan tengah ibu kota.
Kebanyakan mereka juga ditimpa pelbagai masalah termasuk kemiskinan, pengangguran, ketagihan dadah, kesihatan mental dan hubungan keluarga yang terputus.
Golongan gelandangan juga sering berhadapan cabaran dalam mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan perlindungan.
Pelbagai pihak sedang dan telah berusaha membantu menangani masalah gelandangan ini.
Pihak JKM dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) contohnya, sering kali menjalankan rondaan dan operasi untuk membantu golongan gelandangan.
Malah, banyak badan bukan kerajaan (NGO) juga berusaha menghulurkan bantuan terutama bekalan makanan dan pakaian, dari semasa ke semasa.
Menyedari hakikat bahawa pelajar universiti juga berperanan dalam menyantuni golongan ini, satu program mendekati gelandangan anjuran mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah dijalankan baru-baru ini di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Pengarah Program, Muhammad Farid Izzuddin berkata, program yang dinamakan sebagai ‘Sentuhan Kasih’ ini dianjurkan oleh Kelab Musolla, Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) UM dengan kerjasama MyHeal, sebuah organisasi sukarelawan yang aktif memberikan bantuan kepada gelandangan.
Menurutnya, lebih 30 mahasiswa UM daripada pelbagai bidang pengajian dan 20 orang sukarelawan MyHeal telah mengambil bahagian.
“Pelbagai pengisian aktiviti telah diadakan bagi memberi ruang kepada sukarelawan mendekati hampir 100 orang gelandangan yang mengambil bahagian.
“Aktiviti utama program yang diadakan pada sebelah malam itu adalah makan malam beramai-ramai dan sesi perkongsian rohani yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam UM, Dr. Abdul Aziz Rekan,” katanya.
Tambahnya, selain itu, terdapat juga aktiviti ‘Street Dakwah’ yang dikelolakan pendakwah bebas Ustaz Darwis dan aktiviti ‘Santai Sekejap’ oleh pihak MyHeal bagi menghiburkan kanak-kanak yang turut hadir.
Muhammad Farid yang juga merupakan pelajar tahun kedua jurusan farmasi menjelaskan, penganjuran program sebegitu bukan menghasilkan manfaat kepada sebelah pihak sahaja.
Malah, secara tidak langsung turut mencipta peluang bagi mahasiswa menambah pengalaman dalam mendekati segmen masyarakat yang terpinggir ini.
“Melalui program ini, sukarelawan berpeluang mendekati golongan gelandangan ini dengan mendengar luahan kisah dan masalah sekelompok manusia yang turut menghuni ibu kota, namun jarang ditemui untuk dijadikan pengajaran dan pedoman hidup.
“Secara tidak langsung, ini dapat memupuk rasa empati, sikap ihsan, dan memupuk keikhlasan niat dalam melakukan sesuatu perkara.
“Saya akui walaupun bergelar mahasiswa di Kuala Lumpur, namun saya dan rakan-rakan sebenarnya tidak pernah berpeluang untuk mendekati golongan ini,” jelasnya.
Tambahnya, dia bersyukur melalui program itu, mereka berpeluang menyantuni golongan yang selama ini hanya diketahui melalui paparan media.
Melihat respons para sukarelawan di penghujung program, jelas menunjukkan objektif program ini telah tercapai.
“Saya percaya program ini telah berjaya meyakinkan mahasiswa bahawa proses pembelajaran di universiti itu tidak terhad di dewan kuliah semata- mata.
“Jika mereka berusaha untuk keluar dari kepompong masing-masing dan mula memahami realiti kehidupan sebenar ibu kota Kuala Lumpur, di situ juga terletaknya satu lagi sumber pembelajaran untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, felo penasihat program, Dr. Abdul Aziz berkata, uniknya, program sebegini sebenarnya mampu melatih mahasiswa untuk mempraktikkan secara langsung apa yang dituntut sebagai seorang Islam.
“Dalam hal ini, mereka dilatih untuk menunaikan tanggungjawab membantu sesama Muslim, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat ke-7:
“Barangsiapa mengerjakan kebaikan walau seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya,” katanya.