HARSEWINKEL – Kekalahan 0-2 kepada Georgia pada aksi terakhir peringkat kumpulan memberi pengajaran bermakna buat Portugal untuk memberikan aksi lebih baik menjelang saingan pusingan 16 pasukan terbaik awal pagi esok.
Berdepan Slovenia di Deutsche Bank Park, Frankfurt, skuad kendalian Roberto Martinez itu mahu memperkemaskan aksi mereka dalam misi mengulangi pencapaian muncul juara seperti dilakukan pada edisi 2016.
Pemain pertahanan Portugal, Pepe percaya dia dan rakan sepasukannya perlu memberikan fokus sepenuhnya dan menjangkkan tentangan sengit bakal diberikan lawan mereka itu yang bersemangat untuk layak ke suku akhir.
“Portugal adalah antara pasukan yang terbaik di peringkat kumpulan berdasarkan statistik. Sejak perlawanan pertama di Jerman, para penyokong sentiasa bersama kami.
“Kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar berdasarkan rekod pertemuan apabila kami tewas 0-2 ketika aksi persahabatan Mac lalu.
“Saya fikir ia adalah mengenai cara kami mengelak daripada melakukan kesilapan. Aksi pada Mac lalu menyaksikan punca kekalahan kami adalah disebabkan kesilapan yang dilakukan dan jika kami mampu mengatasinya, ia akan menjadi lebih mudah,” katanya.
Tambahnya, bermula saingan kalah mati cabaran mereka akan menjadi semakin sukar dan para pemain perlu kekal bersatu dan berjuang untuk sentiasa memberikan sebaik mungkin apabila diturunkan.
Perlawanan kali ini menjadi aksi ke-26 buat Portugal untuk aksi kalah mati dan selepas kejayaan menjulang kejuaraan pada 2016, pasukan itu tewas tiga daripada empat aksi di pusingan tersebut untuk beberapa kejohanan utama.
Ramalan daripada Super Komputer Opta menunjukkan Portugal memiliki kelebihan sehingga 76 peratus (%) untuk memenangi perlawanan kali ini dan mara ke suku akhir dan menjadi pasukan ketiga mendapat peratusan tertinggi selepas England dan Sepanyol.
Biarpun tewas kepada Georgia, Portugal menjadi pasukan kedua selepas Jerman memiliki statistik tertinggi untuk penguasaan bola (67%) dan melakukan 53 percubaan sepanjang aksi peringkat kumpulan. – AGENSI