DUSSELDORF – Pengendali Perancis, Didier Deschamps dijangka akan menggunakan formasi berbeza buat Les Bleus pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik bertemu Belgium tengah malam ini.
Hanya satu kemenangan dan dua seri dalam tiga aksi peringkat kumpulan jelas menghadirkan kekecewaan dan Deschamps enggan episod sama berulang pada aksi ‘hidup mati’ mereka kali ini.
Perancis kini perlu mengatasi lawan sama buat kali kedua selepas melakukannya pada perhitungan separuh akhir Piala Dunia 2018.
Berdasarkan laporan L’Equipe, Deschamps sudah pun menjelaskan kepada pemainnya tentang cara terbaik dan dijangka akan mempraktikan formasi 4-4-2 seperti yang digunakan dalam dua edisi terakhir Piala Dunia.
Sistem 4-4-2 sudah pun dipraktikan pada perlawanan dengan Belanda dan Kylian Mbappe dijangka akan bergandingan dengan Marcus Thuram di bahagian depan pasukan.
Ekoran prestasi semasa Les Bleus yang dilihat kurang menyengat, Deschamps tidak dapat lari daripada menjadi mangsa tekanan hingga ada yang mula memperkatakan tentang masa depannya bersama pasukan.
Rentetan itu, Deschamps menjelaskan tiada apa yang boleh menggambarkan keadaan sebenar pasukan dan seluruh pasukan kini begitu bercita-cita untuk menghadirkan kejayaan.
“Kamu tidak akan sentiasa boleh ‘membaca’ pertandingan hanya dengan aksi peringkat kumpulan. Bagaimanapun kami tetap berhak untuk berada di tempat kedua saingan kumpulan dan saya berpuas hati,” kata Deschamps.
Untuk rekod, Deschamps mula melatih Perancis sejak 2012 dan kejayaan paling diingati adalah ketika bergelar juara Piala Dunia 2018. – AGENSI