KUALA LUMUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Ketika ini dalam proses memuktamadkan format Sijil Fitosanitari bersama Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi kelulusan eksport durian segar negara ke republik itu.
Menteri KPKM Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Jabatan Pertanian turut mengemukakan senarai ladang dan fasiliti pembungkusan sedia ada bagi mempercepatkan kelulusan berkenaan.
“Hanya ladang serta fasiliti pembungkusan buah durian yang memohon dan berdaftar dengan Jabatan Pertanian, mematuhi piawaian myGAP (Amalan Pertanian Baik) dan mendapat kelulusan GACC menerusi pematuhan syarat-syarat ditetapkan, akan dibenar mengeksport buah itu ke China.
“KPKM menjangkakan proses kelulusan pendaftaran dengan GACC ini memerlukan tempoh selama dua hingga tiga bulan dan eksport buah durian segar dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2024,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang ingin tahu mengenai usaha kementerian untuk mempercepatkan proses pengeksportan durian segar ke negara China dan jangka masa pengeksportan tersebut boleh bermula.
Mohamad turu menjelaskan, kementeriannya menerusi Jabatan Pertanian juga telah menjalankan usaha mengeksport durian segar ke republik tersebut sejak 3 Mac 2023 setelah akses pasaran buah nangka segar berjaya diperolehi daripada GACC.
Katanya lagi, beberapa inisiatif turut diambil bagi mempercepatkan proses mendapatkan akses pasaran eksport antaranya, mengadakan rundingan secara berterusan dengan GACC serta menandatangani kenyataan bersama pada 6 Oktober 2023 bagi mengukuhkan komitmen tersebut.
“Kementerian turut menganjurkan lawatan awal GACC ke ladang durian di Melaka pada 7 Oktober 2023, menerima lawatan pasukan Analisis Risiko Perosak GACC ke tiga ladang durian terpilih di Tapah, Batu Pahat dan Tangkak serta tiga fasiliti pembungkusan terpilih pada Januari lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.