PETALING JAYA – Bengang digelar gila, pelakon Iqram Dinzly menyelar tindakan netizen yang sewenang-wenang menuduhnya sebegitu.
Iqram atau nama sebenarnya Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 43, turut meminta pengguna media sosial agar tidak meninggalkan komen tidak berasas di platform digitalnya.
“Terpulang mahu panggil gila atau tidak kerana sekiranya gila, saya tidak mengganggu orang lain atau memasuki kawasan (platform digital) orang lain. Seperti sekarang saya tidak kacau sesiapa atau masuk TikTok orang lain.
“Saya harap awak sedar dan boleh jadi bangsa Ipoh yang bijak dalam meninggalkan komen dan tidak suka mengambil tahu tentang hal orang lain,” katanya.
Pelakon filem Zim Zim Ala Kazim itu memberi reaksi tersebut ketika membalas salah satu komen pengguna media sosial dalam TikTok ketika membuat siaran langsung hari ini.
Iqram juga sempat menyindir netizen terbabit dengan meminta tidak menyertai siaran lansung hanya untuk meninggalkan komen jelik.
“Kamu yang masuk ke kawasan orang lain dan hanya orang gila yang suka masuk ke tempat orang kemudian bercakap tidak menggunakan otak. Setidak-tidaknya saya gila di tempat sendiri berbanding orang lain yang gila tetapi masuk ke kawasan orang.
“Sejujurnya ini adalah platform digital saya dan terpulang kepada saya untuk melakukan apa sahaja kerana tidak mempunyai kaitan dengan orang lain,” katanya.
Sebelum ini Iqram mencetuskan kontroversi apabila berkelakuan seolah-olah tidak waras dalam media sosial, termasuk didakwa mempersendakan agama dan mengaku memiliki enam karakter berbeza. – KOSMO! ONLINE