fbpx

‘Dewi Remaja’ mahu sertai dunia politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAIRAH merupakan Yang Dipertua MPP UPM yang bertanggungjawab menyampaikan suara mahasiswa kepada pihak pengurusan universiti.

KEPIMPINAN kini tidak terhad kepada kaum lelaki sahaja. Malah, wanita juga boleh menjadi pemimpin yang hebat jika mereka diberi ruang dan peluang.

Kini, ramai wanita telah diangkat menjadi pemimpin dan mereka mampu mentadbir sesuatu organisasi dengan baik.

Begitu juga dengan Umairah Farisah Ahmad Yuzri, 22, yang diangkat menjadi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dia menggunakan peluang itu untuk menjadi wakil dan menyampaikan suara mahasiswa kepada pihak universiti.

“Saya memilih untuk aktif dalam MPP kerana minat saya sendiri dalam bidang kepimpinan.

“Melalui MPP, saya dapat belajar banyak perkara mengenai kepimpinan secara tidak langsung,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Biokimia itu.

Tambahnya, melalui penglibatan dalam MPP, dia dapat meningkatkan kemahiran insaniah dalam dirinya.

UMAIRAH merupakan pelajar dalam bidang biokimia di UPM.

Antara kemahiran yang dia dapat adalah belajar cara untuk berunding dan memberi arahan kepada orang lain serta banyak lagi.

Gadis yang mesra disapa Umairah itu menjelaskan, apabila menjadi MPP, dia bukan hanya perlu berkomunikasi dengan pelajar, malah harus berbuat demikian dengan pihak atasan juga.

“Ini kerana, MPP telah diberi kuasa untuk pemerkasaan mahasiswa di mana setiap keputusan universiti perlu mendapat kata sepakat daripada pelajar.

“Jadi, saya perlu belajar bagaimana untuk berkomunikasi dan mendapat kata putus daripada pihak atasan,” jelasnya yang berasal dari Putrajaya.

Dalam pada itu, Umairah menyimpan hasrat untuk terlibat dalam bidang politik setelah tamat pengajian kelak.

Ujar gadis berjiwa besar itu, mindanya terhadap bidang politik terbuka setelah menjadi MPP dan dia ingin menjadi pemimpin yang membawa perubahan.

“Malah, melalui penglibatan dalam MPP, ia sedikit sebanyak mengajar saya bagaimana untuk terlibat dalam dunia politik selepas ini.

“Saya belajar tentang cara untuk meyakinkan orang kerana di universiti kita ada pilihan raya untuk pemilihan MPP.

“Banyak perkara yang saya dapat belajar termasuk cara hendak berkempen dengan mahasiswa.

“Ketika pemilihan MPP juga, saya menjadi ketua jentera untuk parti,” ujarnya yang juga merupakan Johan Dewi Remaja UPM 2023.

Umairah mampu menggalas tugas sebagai seorang pemimpin dengan baik.

Sementara itu, biarpun sibuk sebagai MPP, namun Umairah tidak lupa dengan matlamat utamanya melanjutkan pengajian di universiti iaitu mendalami ilmu dalam bidang pengajian dipilihnya.

Ketika ditanya faktor dia memilih bidang biokimia sebagai pilihan, dia menjelaskan, sejak di bangku sekolah, dia amat menggemari subjek Biologi dan Kimia.

“Dalam bidang ini, kita belajar tentang penggunaan kimia dalam kehidupan.

“Sebagai contoh dalam bidang perubatan, kami menjadi orang yang bertanggungjawab untuk menentukan jenis vaksin.

“Kami juga mengkaji penggunaan bahan kimia dalam kehidupan.

“Misalnya, kami mengkaji sama ada penggunaan bahan kimia dalam cat dinding sesuai atau tidak untuk kesihatan manusia,” jelasnya.

Tambahnya, banyak lagi perkara yang dia belajar apabila memilih jurusan tersebut.

Umairah pernah dinobatkan Johan Dewi Remaja UPM.

Sebagai pelajar yang aktif, Umairah mengakui, dia harus bijak membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti luar berkaitan MPP.

Setiap mesyuarat yang melibatkan pengurusan pelajar, MPP akan turut serta.

Jadi, dia perlu mengorbankan masa ke kelas dan perlu mempunyai inisiatif belajar sendiri.

“Saya akan bahagikan masa untuk pastikan semua tugasan saya berjalan dengan lancar.

“Begitu juga apabila mendapat tugasan daripada pensyarah. Saya akan pastikan ia disiapkan awal.

“Saya tidak suka menyiapkan tugasan pada saat-saat akhir,” katanya.

Tambahnya, apa yang penting adalah tentang pengurusan masa.

Katanya, jika seseorang mahasiswa itu tahu menguruskan masa dengan baik, maka tidak ada masalah untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di universiti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI