MIAMI – Argentina tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 2-0 ke atas Peru pada aksi Copa America di Stadium Hard Rock pagi semalam biarpun tanpa kelibat bintang sensasi mereka, Lionel Messi.
Penggempur utama, Lautaro Martinez berjaya meledak kedua-dua gol tersebut untuk memastikan Argentina mara ke pusingan suku akhir sebagai juara Kumpulan A dengan kemenangan bersih.
Messi terpaksa diketepikan pada asi kali ini dengan mengadu tidak selepas pada bahagian hamstring selain pengendali mereka, Lionel Scaloni berdepan penggantungan satu perlawanan dan membuat sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama pada aksi berkenaan.
Biarpun perubahan tersebut dilakukan, Argentina masih berjaya mengawal permainan untuk mengecewakan Peru yang hanya mampu melakukan satu percubaan sepanjang perlawanan berkenaan.
Gol pertama Argentina hadir dua minit selepas wisel babak kedua dibunyikan selepas menyudahkan hantaran Angel Di Maria menewaskan penjaga gol Peru, Pedro Gallese.
Argentina mendapat peluang untuk menggandakan jaringan pada minit ke-72 apabila bola terkena tangan pemain Peru, Jesus Castillo dan mereka diberikan sepakan penalti, namun Leandro Paredes gagal menyempurnakannya setelah sepakannya terkena palang.
Bagaimanapun, Martinez berjaya menambah jaringan pada minit ke-86 selepas menerima bola hantaran jauh dan mudah menewaskan Gallese untuk menutup kemenangan bergaya La Albiceleste.
Kempen peringkat kumpulan menyaksikan Argentina berjaya mengumpul sembilan mata daripada tiga perlawanan dan meledak lima gol tanpa sebarang bolos.
Aksi suku akhir menyaksikan juara Piala Dunia 2022 di Qatar itu bakal bertemu sama ada Mexico atau Ecuador pada aksi suku akhir nanti. – AFP