KUANTAN – Gara-gara takut ditahan kerana didakwa terlibat kes jenayah, seorang jurujual kenderaan kerugian RM120,000 selepas diperdaya sindiket yang menyamar pegawai polis
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian bermula pada 27 Jun lalu selepas kelaki berusia 27 tahun itu menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Mangsa akan ditangkap kerana terlibat kes ‘cuci’ wang haram dan kad bank miliknya juga telah diguna oleh orang lain yang terlibat kes jenayah.
“Seterusnya suspek mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi yang diberikan dan mengisi maklumat perbankan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa turut diarahkan untuk membuat transaksi ke akaun yang diberikan kononnya untuk siasatan lanjut.
Akibat terlalu percaya dan takut, mangsa mangalami kerugian sebanyak RM120,000 wang hasil simpanannya selama ini.
Polis Pahang menasihatkan orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa scammer.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE