fbpx

5,000 pengunjung bakal meriahkan Hari Koperasi Negara 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Norihan ketika sidang akhbar pada majlis taklimat media Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) & Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 di Menara SKM, Kuala Lumpur. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,000 pengunjung disasarkan akan menyertai program Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Kompleks JPS Pengkalan Asam, Kangar Perlis.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, HKN 2024 yang dilaksanakan sempena Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) itu turut diadakan di negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, program tersebut akan dirasmikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

“HKN merupakan acara tahunan yang disambut sejak 2002 selaras dengan sambutan Hari Koperasi Antarabangsa dan pada tahun ini adalah merupakan sambutan kali ke-22.

“Manakala Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) disambut sejak tahun 2022 di sepanjang bulan Julai. Sambutan BKK 24 merupakan satu inisiatif SKM bagi mempromosikan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh SKM dan gerakan koperasi di seluruh negara bagi membantu mengembangkan ekonomi koperasi dan usahawan,” katanya ketika berucap pada majlis Meet And Greet: SKM X MEDIA di sini hari ini.

Beliau bekata, objektif utama penganjuran BKK dan HKN adalah bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada gerakan koperasi terutamanya terhadap sumbangan dan peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi negara.

“Tema penganjuran bagi BKK dan HKN Peringkat Negeri bagi tahun 2024 adalah menggunakan tema yang sama seperti tahun 2023 iaitu “Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi”.

“Tema ini masih relevan dengan aspirasi Kerajaan Madani hari ini dan koperasi adalah model yang baik untuk menggerakkan ekonomi dalam kalangan akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar berkata pihaknya menjangkakan program yang dianjurkan di Perlis itu dapat menjana potensi jualan sesi padanan perniagaan bernilai sebanyak RM1 juta.

“Tahun lalu secara purata kita mencapai padanan perniagaan RM1 juta di setiap negeri.

“Saban tahun didapati terdapat peningkatan dari segi padanan perniagaan tambahan lagi apa kita melaksanakan Jualan Madani Koperasi yang mana itu adalah salah satu ‘booster’ kepada mana-mana anjuran SKM di mana ia merupakan satu tarikan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 100 buah reruai akan dibuka terdiri daripada jabatan, agensi, koperasi dan juga usahawan tempatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI