SERAMAI 237 graduan berjaya menerima sijil kemahiran dalam bidang masing-masing pada majlis graduasi Persatuan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Malaysia (PPTVM).
Majlis gilang-gemilang itu berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor pada 22 Jun lalu.
Presidennya, Dr. Lisa Boo Kim Hiok dalam ucapannya berkata, ia merupakan majlis graduasi kedua yang diadakan sejak penubuhan PPTVM pada tahun 2021.
“Ini merupakan statistik dan pencapaian positif serta membanggakan PPTVM kerana berjaya melahirkan graduan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Seramai 237 graduan berjaya mendapatkan sijil kemahiran dalam bidang masing-masing merangkumi Vocational Training Operation (VTO), HRD Train-The-Trainer (HRDCORP TTT), Siji Kemahiran Malaysia Sistem Latihan Dual Nasional (SKM-SLDN), Sijil Kemahiran Malaysia Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) dan Kursus Induksi SLDN,” katanya.
Selain menerima sijil, semua graduan turut menerima sijil kelayakan untuk menjadi personel SLDN.
Turut hadir ialah Naib Presiden merangkap Bendahari PPTVM, Cham Wei Xiong; Pengerusi OE Edugroup, Datuk Wira Dr. Calvin Khiu dan Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai, Marina Ibrahim bersama beberapa lagi tetamu kenamaan lain.
Tambah Lisa, bagi edisi kedua ini, majlis graduasi mendapat sambutan positif dan menggalakkan daripada pusat latihan SLDN yang mengambil bahagian bersama PPTVM.
Katanya, PPTVM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan dekan terlibat atas sokongan tidak berbelah bahagi selama ini.
Pada majlis sama, acara perasmian PPTVM 2024 turut diadakan yang turut dihadiri dan disertai ahli jawatankuasa baharu yang sentiasa aktif bekerja keras membangunkan pusat latihan.
Dalam ucapan, Lisa turut berbangga meskipun PPTVM masih baharu dalam industri pendidikan negara khususnya TVET, kebolehpasaran dan laluan kerjaya graduan yang dilahirkan boleh disimpulkan amat positif dan begitu memberangsangkan.
“Selepas tamat dan bergraduasi, laluan kerjaya graduan kami mempunyai kadar pekerjaan yang tinggi kerana industri menghargai kemahiran praktikal dan teknikal mereka, memungkinkan mereka menyesuaikan diri dengan cepat dalam kerjaya dijawat.
“Tahap gaji permulaan untuk graduan PPTVM sering setanding atau lebih tinggi daripada purata graduan dengan pengalaman yang sama, terutamanya di industri teknologi yang intensif.
“Seterusnya, kami berbangga apabila graduan PPTVM sering dapat mencari pekerjaan yang sesuai dalam bidang pendidikan mereka, dengan tingkat padanan kerja yang amat tinggi sekali gus mengurangkan kos perubahan kerjaya selepas penempatan,” ujarnya.
Tambahnya, melalui pensijilan teknikal dan latihan amali yang diterima, mereka (graduan) telah dilengkapi untuk memasuki pasaran kerja dengan yakin, mencari peluang kerjaya yang sesuai di pelbagai industri dan sektor.
Secara keseluruhan katanya, mereka yang memilih untuk menyambung pengajian bersama PPTVM bakal memperoleh kelebihan unik melalui pensijilan teknikal profesional, pengalaman dunia nyata, hubungan industri yang kukuh, peluang pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan berterusan.
Kelebihan ini jelasnya dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja dan membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan kerjaya mereka.
Menambah mengenai perancangan PPTVM, Lisa memberitahu, dalam usaha untuk meningkatkan aksesibiliti dan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelajar di seluruh Malaysia, beberapa cawangan baharu di negeri-negeri utama seperti Pulau Pinang, Johor dan Sabah akan ditambah dalam tempoh lima ke 10 tahun lagi.
Katanya, cawangan baharu itu akan menyediakan pendidikan, latihan dan perkhidmatan pensijilan teknikal yang lebih mudah diakses.
“PPTVM juga akan mengembangkan kursus lanjutan dan program latihan yang lebih luas termasuk platform pembelajaran dalam talian untuk menyokong pendidikan jarak jauh.
“Ini akan memberikan fleksibiliti kepada lebih ramai pelajar dan golongan profesional untuk meningkatkan kemahiran mereka.
“Kami juga dalam proses memperluaskan kerjasama luar negara dengan institusi pendidikan teknikal dan vokasional untuk menjalankan program pertukaran pelajar serta latihan bersama sekali gus meningkatkan visi global dan kemahiran antarabangsa pelajar,” katanya.
PPTVM yang menawarkan 27 kursus kemahiran kekal optimis dengan misinya membantu negara mempromosikan SKM dan meningkatkan tahap pendidikan serta penilaian teknikal dan vokasional sekali gus membantu generasi baharu menguasai kemahiran tertentu serta mencipta nilai tambah dalam diri.