PETALING JAYA – Netizen memuji kreativiti seorang pemuda yang menjadikan telur sebagai buah tangan atau cenderahati (doorgift) perkahwinan.
Menerusi perkongsian video di TikTok @Ahmadontheway, pemuda tersebut sedang menyiapkan telur yang dimasukkan ke dalam sarang sebanyak empat biji dengan dihiasi sekuntum bunga untuk dijadikan cenderamata kepada tetamu.
Video dengan kapsyen ‘doorgift’ telur. Sesuai untuk majlis tema klasik’ itu telah tular dan mendapat jumlah tontonan sebanyak satu juta serta 53,000 tanda suka.
Menjengah ke ruang komen, rata-rata orang mengimbau kenangan ‘doorgift’ telur yang popular pada suatu ketika dahulu dan membuat perbandingan dengan cenderahati perkahwinan pada masa sekarang.
“Saya nak buat kenduri kahwin anak pada bulan Januari 2025. Memang dah niat nak bagi telur buat ‘doorgift’ sebab sekarang orang dah lupa ‘vibes’ macam dulu-dulu,” kata Malia Chin.
“Teringat majlis sanding. Nenek buatkan beberapa ratus set macam ni. Sekarang orang jarang buat,” kata RezekiTheAaira.
“Simbolik orang dulu-dulu pada acara perkahwinan, telur berkaitan kesuburan dan zuriat,” kata MawarAmir.- KOSMO! ONLINE
@ahmad.on.the.way Doorgift telur. Sesuai untuk majlis tema klasik🌼 #doorgiftkahwin #doorgift #telur #klasik ♬ Mahligai Asli – Pak Ngah