SATU ‘Malaya’ kecoh selepas tular poster Penyanyi Nombor Satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dilantik sebagai pakar institusi pendidikan swasta, Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced).
Ada yang melemparkan kritikan kononnya penghibur berusia 45 itu tidak layak diberikan pelantikan sedemikian kerana tiada kelayakan akademik sewajarnya.
Ironi, mereka lupa bahawa pengalaman hampir 30 tahun pelantun lagu Cindai itu berkecimpung dalam dunia muzik dalam dan luar negara sangat berharga, mampu digunakan untuk memberi motivasi dan rujukan buat para pelajar tanpa had usia di UMCced.
Buat masa sekarang, pihak UMCced sendiri belum memberi kenyataan rasmi berhubung pelantikan tersebut dan Siti juga masih mengunci mulut daripada memberi sebarang hebahan media.
Yang bertebaran hanyalah spekulasi dan pandangan daripada bibir khalayak, sama ada yang menentang dan juga menyokong pelantikan tersebut.
Bukan ingin terlalu mengangkat Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, tetapi kalau sememangnya tugas penyanyi ternama itu di UMCced sebagai ikon, penulis tidak melihat itu sebagai satu masalah.
Ikon bukan pensyarah
Sekiranya Siti datang ke kuliah memberi ‘talk’ atau ceramah kepada para pelajar, bukankah itu juga satu bentuk pendidikan yang bermanfaat? Tepuk dada, tanyalah selera.
Seperti apa dikatakan alumni Universiti Malaya (UM) yang juga pengacara hebat negara, Datuk Aznil Nawawi yang menyifatkan pelantikan tersebut sesuatu yang wajar.
“Pelantikan Siti sebagai ikon, bukan profesor, bukan sebagai ahli akademik, bukan sebagai tenaga pengajar. Hanya ikon yang mempromosikan tentang program pembelajaran berterusan,” katanya.
Menjadi masalah apabila netizen mendengar perkataan ‘pakar’ pada jawatan tersebut, terus keluar segala dalil ‘Siti tidak layak’, ‘hanya belajar setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)’ dan banyak tohmahan lain sedangkan mereka lupa, ilmu itu bukan hanya bersifat teori semata-mata.
Seperti apa diungkapkan ahli akademik, Datuk Dr. Ramzah Dambul, ilmu itu juga boleh ditimba dari universiti kehidupan dan ternyata, Siti mempunyai banyak kelebihan dari aspek tersebut.
“Kepakaran ilmu boleh dipelajari dari universiti pengajian. Kepakaran amali boleh ditimba dari universiti kehidupan.
“Dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, simbiosis pendidikan formal dan pengalaman praktik mesti dipupuk dan dihayati sedalam-dalamnya,” ujar Ramzah yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Pembangunan Sabah.
Impak Siti
Sementara itu, anak seni serba boleh, Datuk Afdlin Shauki pula tidak nampak ada individu lain yang lebih layak menyandang jawatan itu selain Siti. Hujahnya mudah, bakat Siti sangat berharga dan tiada dalam diri orang lain.
“Berapa banyak cikgu vokal yang mengajar di universiti yang mencapai tahap seperti Siti Nurhaliza? Mereka mempunyai pengetahuan yang berbeza. Pakar akademik tahu sesuatu yang mungkin Siti tak tahu,” kata Afdlin.
Konklusinya di sini, sebelum mengulas sesuatu tentang sesuatu isu, pastikan jua semuanya datang dengan ilmu.
Jangan terkejut di luar negara sampai ada jurusan yang menawarkan jurusan keberhasilan kerjaya seni pemuzik seperti Taylor Swift iaitu Swifterature di Ghent University Belgium.
Ada juga terma Swiftonomics disebabkan hasil kerja seni wanita itu memberikan pembangunan ekonomi dan kewangan berbilion-bilion dolar terhadap negara.