SEBERANG PERAI – Parti Komponen Perikatan Nasional (PN), Gerakan mempunyai strategi kemenangan tersendiri dalam ‘pecutan akhir’ kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang berbaki enam hari lagi.
Pengerusi Gerakan Negeri, Oh Tong Keong berkata, jenteranya menggunakan pendekatan bersemuka dengan pengundi Cina dan India di DUN itu selain mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah pada setiap hari.
Menurut beliau, pihaknya juga menjadikan media sosial sebagai medium komunikasi dalam menyampaikan maklumat berkaitan PRK dan calon PN dari Pas, Abidin Ismail.
“Kami memberi tumpuan di pasar-pasar pagi dan kedai kopi serta turut bersama calon (Abidin) berkempen di kawasan pengundi-pengundi Cina dan India.
“Hanya tinggal enam hari sahaja lagi. Ketika ini, kira-kira 60 peratus penduduk setempat sudah disantuni.
“Di saat akhir ini, kami percaya dengan adanya kerjasama baik antara kepimpinan dan jentera PN termasuk parti komponen lain, kemenangan sekali lagi akan memihak kepada PN,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan Abidin seorang individu yang sangat merendah diri dan amat dikenali dalam kalangan pengundi Cina di kawasan itu.
“Sebut sahaja nama Abidin, semua kata kenal kerana dia merupakan anak jati dari Sungai Bakap, malah dia juga merupakan bekas Pegawai Khas kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap.
“Malah, sepanjang lapan hari berkempen, rata-rata penduduk setempat meluahkan kemarahan akan kenaikan kos sara hidup termasuk tarif elektrik dan diesel. Ini merupakan isu paling penting dan menjadi bualan panas penduduk,” tambahnya.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari, dan calon PN, Abidin, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, akibat keradangan dalam perut pada 24 Mei lalu. -KOSMO! ONLINE