fbpx

Permohonan pemindahan kes Hafizul ke Sepang 11 Ogos depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa Hafizul Hawari (tengah) untuk prosiding sebutan semula tujuh kes termasuk pertuduhan memiliki senjata api di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 11 Ogos depan untuk pemakluman status permohonan pemindahan tujuh kes yang dihadapi pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari, 38, atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api ke Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor.

Hakim Zulkifli Abllah memaklumkan tarikh berkenaan pada pengurusan kes tersebut yang berlangsung hari ini.

Prosiding tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd. Faris Syazwan Zainuzzaman.

Nik Mohd. Faris berkata, prosiding hari ini juga merupakan sebutan semula kes, namun pihaknya belum mendapat keputusan berhubung permohonan pemindahan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen Sepang.

“Sebelum ini, kita memohon kepada pihak pendakwa raya untuk memindahkan kesemua tujuh kes Hafizul ke Mahkamah Sepang memandangkan anak guam kami juga mempunyai kes di sana.

“Mahkamah menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mengetahui status permohonan berkenaan. Hafizul kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Hafizul mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api di Mahkamah Sesyen di sini pada 24 April lalu.

Hafizul didakwa kes senjata api, peluru, mercun, memiliki tiga MyKad individu lain dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada sebuah kereta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI