PARIS – Rakyat Perancis keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya Parlimen yang berpotensi mengubah senario politik tempatan dan menyaksikan parti berhaluan kanan pimpinan Marine Le Pen mengambil alih kuasa buat kali pertama dalam sejarah.
Ketika perang Ukraine memasuki tahun ketiga, manakala harga bahan api dan dan makanan melambung tinggi, sokongan rakyat beralih kepada parti nasionalis dan antipendatang, Perhimpunan Nasional(RN) pimpinan Le Pen meskipun Presiden Emmanuel Macron berjanji untuk mengekang kebangkitan RN.
Pusat mengundi di seluruh Perancis untuk pusingan pertama pilihan raya berkenaan dibuka seawal pukul 8.00 pagi (waktu tempatan) dan ditutup 12 jam kemudian, diikuti dengan unjuran pengiraan undi.
Pengundi di tanah-tanah jajahan Perancis di seberang laut pula membuang undi lebih awal. Kira-kira 49 juta orang di Perancis layak mengundi dalam pilihan raya kali ini.
Pilihan raya Parlimen bagi memilih 577 anggota Dewan Nasional (dewan rakyat) negara berkenaan adalah proses dua pusingan. Bentuk parlimen baharu Perancis akan menjadi jelas hanya selepas pusingan kedua diadakan seminggu kemudian, pada 7 Julai ini.
Bagaimanapun, kebanyakan tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan RN berada di landasan untuk memenangi bilangan kerusi terbesar dalam Dewan Nasional walaupun masih tidak jelas sama ada parti itu akan memperoleh kemenangan majoriti sama ada majoriti mutlak atau majoriti mudah.
Peratusan keluar mengundi yang tinggi turut diramalkan dalam pilihan raya kali ini. Keputusan tinjauan pendapat terakhir meramalkan RN bakal memperoleh antara 35 hingga 37 peratus undi berbanding 27.5 hingga 29 peratus pengundi yang memilih pakatan Barisan Popular Baharu.
Tinjauan pendapat sama meletakkan hanya 20 hingga 21 peratus pengundi akan memilih pakatan parti politik yang menyokong Macron.
Jika RN memperoleh majoriti mutlak, ketua parti RN, Jordan Bardella, 28, yang merupakan anak didik Le Pen akan menjadi Perdana Menteri dalam posisi tegang dengan Macron. – AFP