fbpx

Penggodam minta kerajaan Indonesia bayar wang tebusan lebih RM37 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
. PENGGGODAM menuntut wang RM37 juta daripada kerajaan Indonesia. - AFP

JAKARTA – Penggodam-penggodam meminta wang tebusan sebanyak AS$8 juta (RM37.74 juta) untuk mendapatkan semula data sulit selepas melancarkan serangan siber terhadap kerajaan Indonesia, lapor portal be­rita Channel News Asia kelmarin.

Dalam serangan itu, pemerintah berkata, lebih 230 agensi awam termasuk kementerian telah terjejas tetapi pihaknya enggan membayar wang tebusan yang dituntut untuk mendapatkan semula data yang disulitkan.

Susulan serangan siber pada minggu lalu itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan audit dilakukan terhadap pusat data kerajaan.

Serangan siber itu adalah yang paling buruk dalam tempoh beberapa tahun lalu di Indonesia. Ia telah mengganggu pelbagai perkhidmatan kerajaan terma­suk imigresen dan operasi di lapangan terbang-lapangan terbang utama.

Ketua Juruaudit Indonesia, Muhammad Yusuf Ateh berkata, Jokowi mengarahkannya untuk memeriksa pusat data negara itu.

Menurut Mohammad yang mengetuai Pengawal Pembangunan dan Kewangan (BPKP) negara itu, prosedur pengauditan itu akan meliputi tadbir urus dan aspek kewangan pusat tersebut.

Pegawai yang mempengerusikan agensi keselamatan siber Indonesia dikenali dengan akronimnya BSSN, Hinsa Siburian berkata, sebanyak 98 ​​peratus daripada data kerajaan yang di­simpan di salah satu daripada dua pusat data yang terjejas tidak mempunyai salinan data.

“Secara amnya, kami melihat masalah utama ialah tadbir urus dan tiada salinan data,” katanya semasa sidang pendengaran di Parlimen lewat Khamis lalu.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat menolak penjelasan tersebut.

“Jika tidak ada salinan data, ini bukan lagi kelemahan tadbir urus tetapi ini satu kebodohan,” kata pengerusi suruhanjaya yang menyelia kejadian tersebut, Meutya Hafid.

Jurucakap BSSN tidak menjawab apabila ditanya sama ada terdapat kemungkinan untuk mendapatkan semula data yang disulitkan itu.

Menteri Komunikasi Indonesia, Budi Arie Setiadi berkata, pihaknya mempunyai kapasiti salinan data di pusat tersebut tetapi adalah menjadi pilihan bagi agensi kerajaan untuk menggunakan perkhidmatan itu.

Beliau berkata, agensi kerajaan tidak membuat salinan data kerana kekangan bajet tetapi menyatakan ia akan diwajibkan tidak lama lagi.

Serangan siber itu telah mencetuskan kritikan terhadap menteri itu di media sosial Indonesia

Kumpulan kebebasan digital, SAFEnet memulakan petisyen bagi menggesa Budi meletak jawatan dengan menyatakan bahawa kelemahan beliau melaksanakan tanggungjawabnya menyebabkan serangan siber berulang.

Namun, terdapat juga peti­syen yang mahu Budi mengekalkan jawatannya ketika beliau diminta untuk mengulas mengenai desakan peletakkan jawatan itu.

Menteri itu memberitahu Parlimen bahawa seorang suspek yang bukan berasal dari Indonesia dipercayai menjadi dalang serangan itu.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan agensi-agensi kerajaan harus dipulihkan sepenuhnya menjelang Ogos ini.

Menurut kerajaan, penyerang siber itu menggunakan perisian yang dipanggil Lockbit 3.0 ketika menggodam kementerian, agensi kerajaan dan awam di negara tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI