fbpx

Pelajar cemerlang SPM dijamin tempat di matrikulasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada Majlis Kemuncak NTW 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas, akan diberikan ruang menyambung pengajian di matrikulasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut adalah hasil perbincangan Jemaah Menteri pada Jumaat lalu dan perinciannya akan diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek esok.

“Anak-anak kita tanpa kecuali, semua rakyat Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, semua suku kaum Sabah, Sarawak anak kita anggap semua satu keluarga besar.

“Kalau ada anak kita catat kejayaan 10A dan lebih di semua aliran persekolahan negara yang dianggap cemerlang, maka keputusan kita tanpa kecuali semua mereka daripada semua kaum dan wilayah harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa, kerajaan akan menjamin hak pendidikan untuk bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sementara kita jamin semua 10A daripada semua kaum ke program matrikulasi. Kita akan terus pertahankan dasar kuota bumiputera sedia ada supaya jangan ada anak-anak terutama miskin bandar atau dalaman yang ketinggalan,” ujarnya.

Berhubung program hari ini, Anwar berkata, beliau berbangga sambutan anak-anak muda terhadap program NTW yang amat memberangsangkan sekali gus menunjukkan mereka wajar diberi ruang dalam pelbagai sektor.

Katanya, pendekatan ini selari pendekatan ekonomi negara untuk memacu pertumbuhan lebih tinggi dengan menarik peluang pelaburan.

“Ini maknanya kalau kerajaan beri peluang, anak-anak muda tidak mempersiakan.

“Usaha dibuat Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp ini telah memberi jaringan lebih luas khususnya membabitkan kawasan pendalaman tanpa mengira kaum,” katanya.

NTW yang berlangsung sejak 24 Jun lalu berjaya menerima 375,817 penyertaan dengan 65,115 kursus kemahiran di samping penglibatan 1,400 penyedia kursus.

Program itu merupakan satu minggu penuh dengan latihan dan aktiviti dengan menghimpunkan organisasi dan individu pelbagai latar belakang serta industri untuk berkongsi pembelajaran dan pembangunan bakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI