fbpx

Lesen syarikat bas terbabit kemalangan di Genting digantung sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
King Sing ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa nahas kemalangan bas persiaran di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak menolak kemungkinan untuk menggantung lesen syarikat pelancongan berhubung kes kemalangan maut dua pelancong China di Genting Highlands, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, siasatan menyeluruh sedang dilakukan dalam meneliti kewajaran serta keperluan untuk membatalkan lesen syarikat berkenaan termasuk mana-mana pihak yang terlibat.

“Saya difahamkan pemandu bas persiaran berkenaan telah ditahan dan mempunyai rekod lampau berkaitan pemanduannya.

“Dari pihak kementerian, kami turut menyiasat agensi pelancongan terbabit, kita dapati mereka ada ‘subline’ (bas digunakan) kepada (syarikat) lain,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa nahas bas persiaran di Hospital Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan keadaan lapan pesakit yang terbabit kemalangan tersebut, beliau berkata kesemua mereka masih dalam rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

“Ketika melawat, saya dapat aduan daripada pelancong-pelancong bahawa bas tidak sesuai. Mereka bercuti di Malaysia enam hari lima malam tetapi bas tiga kali ditukar. Keadaan bas juga tidak berada dalam keadaan yang elok, ada bunyi-bunyi, tiada pendingin hawa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan satu mesyuarat khas bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) akan dilakukan membincangkan isu bas pelancongan, Selasa ini.

Menurutnya, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya terdapat perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) berhubung bas yang digunakan dalam kejadian itu.

“Pihak kementerian akan menyiasat secepat mungkin dan teliti tindakan, sekiranya tidak mengikut arahan akan digantung sementara untuk siasatan penuh.

“Jangan ambil mudah berkenaan dengan nyawa demi keuntungan perniagaan. Saya turut meminta maaf dengan apa yang berlaku. Kita akan pastikan keselamatan kesemua pelancong di masa akan datang,” katanya.

Semalam, media melaporkan pemandu bas persiaran terlibat dalam kemalangan di Genting Highlands yang mengorbankan dua pelancong China didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan lanjut juga mendapati pemandu bas berusia 32 tahun itu mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata dua mangsa lelaki yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, bas persiaran berkenaan dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan ketika dalam perjalanan ke ibu negara di kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI