fbpx

Koop Sahabat agih dividen 10 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Noriha Mohd Najib ketika pengumuman kadar dividen bagi tarikh kewangan berakhir 31 Disember 2023 selepas Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koop Sahabat Kali Ke - 11 Tahun 2024 di Hotel Tenera. Foto SADDAM YUSOFF

BANGI – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad mengumumkan agihan dividen sebanyak 10 peratus bersamaan RM9 juta kepada 448,782 anggota koperasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 berbanding RM 6.5 juta bagi tahun kewangan 2022.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, pengumuman dividen sebanyak 10 peratus ini bagi tahun ketiga berturut-turut dan merupakan kadar tertinggi pernah dicatatkan oleh Koop Sahabat sejak penubuhannya pada Ogos 2012.

“Agihan dividen itu adalah hasil daripada keuntungan bersih semasa yang dicatat oleh Koop Sahabat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 tidak termasuk pemotongan zakat sebanyak 2.5 peratus.

“Koop Sahabat telah berjaya mencapai dua daripada empat sasaran yang ditetapkan menerusi Pelan Strategik 2020-2024 iaitu mendapat kedudukan sepuluh Koperasi terbaik Malaysia dan mengagihkan dividen pada kadar 10 peratus kepada anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koop Sahabat Kali Ke-11 Tahun 2024 di Hotel Tenera, Bangi, Selangor, di sini, hari ini

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B); Ketua Pegawai Eksekutif DCAP Digital Sdn. Bhd., Sonia Ng dan Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas Com Travel Sdn. Bhd., Ikhlas Kamarudin.

Koop Sahabat mempunyai lebih 450,000 orang anggota dan telah diiktiraf sebagai koperasi ke-3 terbaik di Malaysia pada tahun 2023 serta berada dikedudukan 10 terbaik di Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

Pada majlis yang sama, Koop Sahabat telah melancarkan versi baharu aplikasi Sahabat Super App, di mana ia menambah baik fungsi aplikasi tersebut dengan menampilkan reka bentuk yang lebih menarik serta integrasi aplikasi pembayaran pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia.

“Eksklusif kepada para anggota, satu program khas yang diberi nama Ikon Usahawan akan dilaksanakan melalui aplikasi ini bagi meningkatkan penjenamaan produk anggota secara percuma melalui aplikasi ini.

“Di samping itu, Koop sahabat juga mengadakan jalinan usaha sama bersama Ikhlas Com Travel Sdn. Bhd., yang menawarkan pakej umrah mampu milik ke Mekah dan Madinah,” ujarnya.

Kata beliau, Koop Sahabat turut berkolaborasi bersama DCAP Digital Sdn. Bhd., yang merupakan sebuah platform teknologi kewangan AI (AI INTECH) yang akan menyediakan platform pembiayaan lestari Koop Sahabat bagi pembelian motosikal.

“Koop Sahabat menyediakan dana sebanyak RM5 Juta untuk pembiayaan Lestari dan boleh dimohon bermula Ogos nanti bersempena dengan Ulang Tahun Ke-12 Koop Sahabat,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI