MEMBESAR sebagai anak kepada pengamal perubatan alternatif menjadikan pemuda itu sudah terbiasa dengan hal ehwal berkaitan dunia mistik.
Hampir setiap hari, ramai orang datang berjumpa bapanya untuk mendapatkan khidmat rawatan tradisional daripada sekadar berurut sehingga merawat kerasukan.
Menurut jejaka asal Alor Gajah, Melaka, Asri (bukan nama sebenar), sebagai anak lelaki sulung, dia sentiasa mengikut bapanya berubat orang terutama di sekitar kampung halamannya.
“Ayah bekerja sendiri, kadangkala saya akan jadi pembantu dan menghantar dia ke rumah pesakit.
“Sepanjang perjalanan, kadangkala ada pelbagai halangan yang kami tempuh, antaranya penampakan susuk makhluk ghaib.
“Ada ketikanya, tiba-tiba kereta akan berbau wangi setanggi,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.
Tambah bapa kepada seorang cahaya mata itu, hal tersebut membuatkan dia berasa takut, namun lama-kelamaan dia sudah terbiasa.
Katanya lagi, biarpun sudah lali dengan gangguan makhluk halus, namun ada satu kejadian yang masih diingati oleh Asri.
Kisahnya berlaku semasa awal-awal dia menjadi pemandu untuk menghantar bapanya ke rumah pesakit.
Ketika itu, dia perlu ke sebuah kampung yang agak terpencil dengan melalui satu kawasan hutan serta semak samun.
“Malam itu, ayah mendapat panggilan ada orang minta tolong anaknya kerasukan makhluk halus.
“Memandangkan ayah rabun silau, dia meminta saya untuk memandu kereta ke rumah pesakitnya yang berada di sebuah kampung di Lubok China,” ujarnya.
Kongsinya lagi, sebelum memulakan perjalanan, bapa sudah berpesan supaya jangan menegur apa-apa yang terlihat atau terbau sepanjang menuju ke sana.
Bapanya juga memberikan sebilah keris untuk digunakan jika ada sesuatu yang aneh berlaku.
Setibanya di rumah pesakit, bapa terus melakukan tugasnya merawat individu yang sedang menjerit seperti orang histeria.
Asri ketika itu hanya menunggu di dalam kereta sementara bapanya pergi mengubat pesakit.
Tiba-tiba, ada seorang perempuan muncul dan memasuki tempat duduk belakang keretanya.
“Saya ketika itu terkejut, entah dari mana munculnya seorang perempuan berpakaian baju kurung hitam dengan berselendang di kepala dan rambut menutupi sebahagian mukanya.
“Tiba-tiba, saya terasa seram sejuk. Saya cuba bertanya siapa dia, tetapi wanita itu hanya gelak seperti mengilai kemudian menangis,” ceritanya.
Kata Azri lagi, setelah berulang kali ditanya dan masih mendapat maklum balas sama, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perempuan tersebut.
Dia kemudian teringat akan keris yang diberikan bapanya. Semasa dia cuba mengambilnya di papan pemuka kereta, wanita itu terus menjerit mengatakan, ‘jangan’.
“Jangan kau ambil keris itu, panas, aku panas. Cakap dekat ayah kau jangan dikacau budak itu, dia milik keluarga aku.
“Aku nak ingatkan, jangan kacau, kalau tidak aku akan buat lagi teruk,” kata perempuan itu sambil ketawa.
Meskipun berasa takut, Asri tetap mencapai keris tersebut dan mengeluarkannya dari sarung.
Wanita itu menjerit sambil meronta serta dengan sekelip mata, ia hilang dari pandangan sebelum keadaan kembali seperti biasa.
Dengan segera, Asri terus keluar dari kereta dan masuk ke dalam rumah, tempat bapanya mengubat pesakit.
Setibanya di rumah itu, dia terkejut melihat wanita yang diubati bapanya itu sama dengan perempuan di dalam kereta sebentar tadi.
Selepas semua urusan selesai, Asri menceritakan kepada bapanya tentang situasi yang berlaku sewaktu perjalanan pulang.
“Bapa beritahu saya bahawa perempuan tadi kerasukan kerana dia diganggu saka keluarga yang mahu berdamping dengannya.
“Kemungkinan makhluk yang memasuki kereta itu tadi adalah sakanya.
“Namun, ayah berpesan supaya tidak berasa takut selain daripada Allah SWT,” ceritanya sebelum menutup bicara.