SEBERANG PERAI – Kerajaan akan membawa pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 ke sidang Parlimen sebelum 18 Julai depan, untuk mengklasifikasikan penagih sebagai pesakit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usul pindaan tersebut sudahpun dibentangkan dan telah mendapat kelulusan di peringkat Jemaah Menteri dan Jabatan Peguam Negara.
Menurut beliau, kementeriannya juga sudahpun mendaftarkan dengan Parlimen untuk mengambil giliran pembentangan itu nanti.
“Kalau tak ada apa-apa aral melintang, bergantung berapa banyak rang undang-undang yang sedang menunggu giliran, kami harap sebelum (bentang) 18 Julai ini.
“Pembentangan pindaan ini dapat ditambah baik tiga elemen penting. Pertama, kita tidak melihat mereka yang terjebak dalam masalah pengambilan dadah, penagihan dan penyalahgunaan bahan itu penting.
“Apa yang beza penagih dengan penyalahgunaan bahan. Penagih dadah ada elemen ketagihan, simptom ketagihan, menyalah guna bahan adalah dia mengambil bahan.
“Bila kita buat pindaan, mereka yang datang secara sukarela, kita terus rujuk mereka dengan pegawai pemulihan AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) bukan lagi pakar di hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program XPRESI GenTa (GENERASI KITA) Bersama Menteri Dalam Negeri: Solidariti Bebas Dadah di Dewan Chong Kuang, Sungai Bakap di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution memberitahu, tindakan di bawah pindaan akta tersebut juga tidak melibatkan proses yang lama termasuk berdepan karenah birokrasi.
“Prosesnya akan menjadi lebih pantas. Ini akan mendorong lebih ramai individu berkenaan (penyalahgunaan dadah) yang secara sukarela memilih untuk datang sekali gus kita tidak melihat mereka yang terlibat ini sebagai penagih, tetapi sebagai pesakit.
“Kita tidak lagi melihat itu sebagai elemen jenayah. Sebab itu saya gunakan istilah dinyahjenayahkan. Lagipun mereka ini bukannya berada dalam kategori yang parah,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE