KUALA LUMPUR – Bukan sahaja berada dalam keadaan kotor dan bertikus, malah premis memproses taugeh didapati turut membungkus semula makanan itu yang sudah jatuh ke lantai.
Demikian tahap kebersihan empat premis yang diserbu masing-masing dua perniagaan sembelihan ayam dan dua perniagaan memproses taugeh di kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, pihaknya melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan telah melaksanakan operasi bersepadu di sekitar kawasan tersebut.
Jelasnya, sebanyak tiga premis dikenakan penutupan segera dibawah Akta Makanan 1983 dan satu premis akan dibatalkan lesen.
“Sebanyak 16 kompaun kesalahan telah dikeluarkan di bawah peruntukan UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, UUK Pelesenan Tred,Perniagaan Dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah premis didapati kotor serta semua sisa ayam seperti bulu ayam dan darah ayam terus ke longkang awam.
“Hasil siasatan Indah Water Konsortium (IWK) mendapati loji berhampiran dipenuhi dengan bulu ayam dan lemak ayam.
“Pekerja premis juga tiada suntikan typhoid serta tidak memakai pakaian yang bersih dan sesuai semasa mengendalikan bahan mentah,” katanya.
Tambah kenyataan itu, siasatan dan pemantauan di premis memproses taugeh mendapati keaadan premis turut berada dalam keadaan kotor.
“Bekas yang berisi taugeh terdedah dan mudah dilalui oleh tikus termasuk pekerja mengutip semula taugeh-taugeh yang telah jatuh ke lantai untuk dibungkus semula,” katanya.
Kata kenyataan itu, DBKL mengingatkan agar semua pemilik premis di ibu kota agar sentiasa menjaga kebersihan premis dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dalam syarat lesen perniagaan.-KOSMO! ONLINE.