fbpx

Hampir minum racun kerana kecewa ambil dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biarpun umur sudah semakin lanjut, lelaki ini khuatir untuk berkahwin kerana bimbang terjebak semula dengan dadah sehingga menyusahkan isteri dan anak.

BERGELUMANG dengan ‘dunia’ penagihan dadah selama lebih 20 tahun menyebabkan lelaki berusia 48 tahun itu amat menyesali akan perbuatannya yang telah membuatkan masa depannya hancur berkecai.

Lelaki bertubuh sasa dan berjanggut agak panjang itu mengakui kepada Panorama dia telah mengambil pelbagai jenis dadah dalam hidupnya. Daripada ganja, heroin, syabu, pil kuda, pil ekstasi, eramin 5, segala macam dadah telah ‘dirasainya’.

Faizal (bukan nama sebenar) mengakui hidupnya ‘kelam’ kerana ketagihan dadah-dadah itu sehingga menjejaskan hubungannya dengan keluarga dan masyarakat.

Kini, biarpun usianya telah lanjut, dia yang berasal dari Manjung, Perak juga agak khuatir untuk ‘membina masjid’ kerana takut terjebak kembali dengan najis dadah menyebabkan isteri dan anaknya menderita.

Lelaki yang merupakan pegawai di sebuah rumah pemulihan dadah di Perak itu berkongsi kepada penulis, dia telah terjebak dengan penagihan ganja seawal umur 15 tahun.

“Mungkin anda hairan, bagaimana saya boleh terjebak dengan penagihan dadah sejak berumur 15 tahun. Jiwa remajalah katakan, suka untuk mencuba yang baharu tetapi itulah yang menjahanamkan diri ini.

“Lagi-lagi, barang (ganja) mudah untuk didapati dengan mudah kerana ramai tokan (pengedar) selain keluarga saya agak mampu jadi saya layankan sahaja.

“Penagihan ganja ini menyebabkan saya kerap ponteng sekolah dan tidak lagi berminat untuk belajar bersungguh-sungguh kerana dibuai dengan ‘fatamorgana’ benda najis itu,” katanya dengan nada penuh serius.

Tabiat buruk itu diteruskannya, namun nasibnya baik kerana mendapat tawaran melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Selangor.

Walaupun menagih dadah, dia mendapat keputusan yang agak baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga mendapat tawaran belajar dalam bidang kejuruteraan peringkat diploma.

“Saya belajar dengan baik tetapi mula terlibat dengan penagihan heroin pula.

“Saya jalani hidup secara konsisten iaitu belajar dan menghisap heroin pula, namun malang tidak berbau kerana secara kebetulan semasa saya bersama kawan-kawan IPT di bilik asrama kami diserbu oleh pihak pengurusan kerana mereka mendapat laporan berhubung kegiatan menghisap heroin di situ.

“Semasa kejadian, saya tidak hisap heroin tetapi selepas pemeriksaan urin saya didapati positif dadah itu sehingga dibuang daripada IPT tersebut,” ujarnya.

Dia yang merupakan seorang pelajar cemerlang berasa kecewa dan mengambil keputusan untuk bekerja di Kuala Lumpur.

Pelbagai pekerjaan yang dilakukan tetapi dia beralih kepada penagihan syabu pula.

“Duit bekerja di restoran, pekerja am dan pelbagai pekerjaan lain habis untuk beli syabu sahaja. Selain kehidupan menjadi semakin tidak terurus, saya mula mengenali pengedar dadah sehingga menjadi sebahagian daripada mereka.

“Ternyata, saya terus dibuai dengan kemewahan hidup dengan menjadi pengedar syabu dan boleh memperoleh sehingga lima angka sebulan,” terangnya.

Katanya lagi, syabu ternyata mendapat permintaan yang banyak daripada semua golongan merangkumi penjawat awam, swasta dan golongan profesional.

Selain terlibat dalam pengedaran syabu, dia juga bermain judi secara dalam talian.

“Begitulah, memang kaya tetapi duit juga banyak hangus apabila bermain judi. Menang itu adalah sesekali tetapi lebih banyak yang rugi.

“Untuk berjaga malam dan tidak tidur selama beberapa hari demi berjudi, saya ambil pil ekstasi, pil kuda, eramin 5 dan kehidupan gelap ini dilalui selama berbelas-belas tahun.

“Keluarga memang menasihatkan saya untuk berubah semasa itu tetapi mungkin kerana keseronokan menyebabkan saya tidak ingin melepaskan ‘dunia’ ini,” katanya.

Perbuatan yang dilakukan lelaki ini menyebabkan dia beberapa kali ditangkap oleh polis dan dipenjarakan tetapi sebaik saja dibebaskan perbuatan itu diulanginya lagi.

Namun kemuncak segalanya adalah apabila arwah bapanya disahkan menghidap kanser dan inginkan dia supaya berubah.

Ketika itu, dia mula mahu meninggalkan najis dadah, namun begitu bergelut dalam melawan ketagihan. Dia berasa terlalu kecewa dengan diri sendiri kerana telah terjebak dengan dadah.

Dia juga pernah cuba membunuh diri sebanyak tiga kali dengan mengambil pil tidur secara berlebihan selain hampir meminum racun kerana tidak lagi sanggup hidup bergelumang dengan dosa.

“Kekuatan saya ialah keluarga iaitu arwah ayah, ibu dan abang sulung sentiasa memberikan sokongan dan motivasi supaya berubah dan meninggalkan ketagihan dadah.

“Saya kemudian menjadi residen (penghuni) di pusat pemulihan ini sehingga benar-benar pulih dan berjaya membuang segala ketagihan terhadap dadah.

“Tipu sekiranya jika tidak teringin, namun kerana keazaman ingin berhenti selain dikelilingi masyarakat yang positif dan gembira kerana saya berubah menyebabkan saya bebas sepenuhnya,” katanya.

Dia juga kini berbangga kerana dapat merangka program untuk mengubah bekas penagih berubah untuk berjasa kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Perubahan itu ternyata sukar tetapi baginya biarlah ia mengambil masa bertahun-tahun diselangi pelbagai kesukaran, namun akhirnya membuahkan hasil signifikan.

Dia menitipkan pesan agar jangan sesekali terlibat dalam apa juga penagihan dadah sama ada tradisional atau sintetik kerana itulah permulaan derita dan bencana pada diri anda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI