PETALING JAYA – Dalam usaha mengembangkan perniagaan, ramai usahawan biasanya terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan kekangan terutama dari segi sumber, modal dan tenaga kerja.
Tiga faktor tersebut menjadi kekangan kepada pelan pengembangan perniagaan dan ada yang terpaksa berpuas hati pada skala perniagaan sedia ada dengan hanya memiliki satu atau dua cawangan sahaja.
Ketua Bahagian Pembangunan Francais, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Mazlan Ibrahim berkata, melalui sistem perniagaan francais yang ditawarkan, ia adalah salah satu platform terbaik kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
Beliau menerangkan, ia adalah antara kaedah yang sesuai untuk usahawan meningkatkan perniagaan mereka ke satu aras baharu.
Jelasnya, sebagai agensi dimiliki Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang diberi mandat menerajui pembangunan industri francais di Malaysia dan dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, pihaknya bertanggungjawab memeriahkan lagi industri dengan menggalakkan penyertaan lebih ramai pemain selain meningkatkan kesedaran umum mengenai francais.
“Banyak jenama berpotensi yang kami jumpa, apabila ditanya kenapa mereka tidak membesarkan perniagaan dengan membuka cawangan di kawasan lain, mereka menyatakan masalah yang dihadapi iaitu dari segi modal dan sumber pekerja, selain itu mereka juga tidak menang tangan untuk menambah cawangan baharu.
“Apa yang kita tawarkan adalah pembangunan sistem dan konsep perniagaan yang boleh dibuat di tempat-tempat lain, jadi mereka boleh berkembang.
“Terdapat banyak jenama yang telah berjaya berkembang daripada tiga outlet sehingga boleh mencecah kepada 80 hingga 90 outlet. Ini sesuatu yang tidak pernah dibayangkan oleh mereka sebelum ini.
“Antara kebaikan francais adalah jenama itu boleh berkembang dari segi kehadiran, pengukuhan jenama dan pulangan, selain turut memiliki skala ekonomi (Economies of Scale) yang mampu mendapatkan bekalan pada kos lebih rendah kerana membeli dalam kuantiti yang banyak,” katanya pada sesi webinar bertajuk Meneroka Potensi Francais Bersama Pernas baru-baru ini.
Menurut Mazlan, Pernas menyediakan pelbagai bantuan buat pemilik jenama untuk mengembangkan perniagaan mereka ke arah sistem francais, baik dari segi pembiayaan mahupun khidmat konsultasi untuk pembangunan kemahiran dan pengukuhan perniagaan.
Antaranya Program Pembangunan Francais, Xcelerator yang bertujuan membimbing dan membangunkan perniagaan yang berpotensi untuk didaftarkan sebagai perniagaan francais.
“Pelaksanaan program ini antaranya melibatkan proses mengenal pasti model perniagaan untuk difrancaiskan; pakej perniagaan francais yang ditawarkan; unjuran kewangan francaisi dan analisa belanjawan modal serta dokumentasi francais seperti Manual Operasi, Manual Latihan dan Perjanjian Francais.
“Sementara itu, untuk model perniagaan lebih kecil seperti bisnes apam balik, burger, putu bambu dan sebagainya, kami mempunyai program Business In Transformation (BIT) untuk membantu usahawan menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan.
“Dari segi pembiayaan, kami ada menawarkan Musa’adah Revolving Credit-i direka khas untuk membiayai keperluan modal kerja pelanggan korporat dan komersial.
“Pembiayaan ini ditawarkan dengan ciri pusingan yang membolehkan pelanggan perniagaan menggunakan dana sebagai modal kerja dalam had pembiayaan yang tersedia sehingga RM500,000,” katanya.
Sokongan untuk francaisi tidak hanya untuk pemilik jenama, Pernas turut menyediakan sokongan komprehensif buat francaisi dan mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan dengan memanfaatkan sistem francais.
Jelas Mazlan, antara manfaat menjadi francaisi ialah dapat menggunakan jenama atau cap dagangan kukuh yang diiktiraf Perbadanan Harta Intelek Malaysia; struktur perniagaan seragam dari segi kualiti produk dan perkhidmatan; faedah Economies of Scale; manual operasi dan latihan lengkap serta khidmat sokongan dan bimbingan berterusan daripada francaisor.
“Untuk bermula, pertama sekali kita perlu mewujudkan sokongan dan pemahaman daripada keluarga supaya tidak ada masalah di kemudian hari, sebelum menetapkan lokasi dan jenis perniagaan yang mahu diceburi.
“Langkah seterusnya berhubung dengan francaisor, kita juga perlu kaji latar belakang mereka untuk memastikan sama ada ia benar-benar sesuai, francaisor yang baik bersikap telus dan biasanya tidak keberatan membenarkan kita berhubung dengan francaisi mereka yang sedia ada untuk mengetahui lanjut mengenai perniagaan yang dijalankan.
“Dari sudut sokongan disediakan Pernas, kami menyediakan bantuan pembiayaan sehingga 70 peratus, 30 peratus selebihnya perlu dicari oleh francaisi sendiri.
“Kami turut menyediakan program latihan seperti Be Your Own Boss, yang mana peserta yang lulus akan menerima kadar keuntungan pembiayaan yang lebih menarik,” ujarnya.
Mazlan turut menasihati mereka yang memiliki aspirasi untuk menjadi seorang usahawan francais untuk memulakan langkah pertama dengan menghubungi Pernas secara terus bagi mengetahui lebih lanjut pelbagai bantuan komprehensif yang disediakan.
Untuk berhubung dengan Pegawai Pemasaran Pernas, orang ramai boleh menghubungi Siti Farhana (011-1009 3465) dan Nurshuhadah (017-629 2903), manakala untuk pembiayaan, boleh hubungi Zira Yusni (018-248 6779) atau Najib Hassan Besiri (012-665 9857) atau #CariPernas di platform media sosial @pernasofficial.
“Pernas juga mengambil pendekatan proaktif untuk mendekati orang ramai dan antara program turun padang yang dilaksanakan tahun ini adalah Jelajah BizFrancais 2024 yang telah diadakan di Sarawak dan Pulau Pinang.
Program sama bakal dianjurkan di Pahang pada 3 Ogos dan di Sabah pada 21 September depan.
“Tidak hanya di peringkat domestik, Pernas turut menggalakkan usahawan francais untuk berusaha menembusi pasaran antarabangsa menerusi penyertaan di Gulfood Exhibition 2024 di
Dubai dan Gulf Franchise Expo di Abu Dhabi, serta beberapa lagi misi perdagangan antarabangsa termasuk di China dan Istanbul,” ujarnya.