MUNICH – Pengendali England, Gareth Southgate mengakui tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan, malah langsung tidak meragui kemampuan skuad bimbinganya pada kempen Euro kali ini.
The Three Lions menyertai saingan kali ini dengan status pilihan juara dan mereka bakal turun menentang Slovakia pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik awal pagi esok selepas muncul juara Kumpulan C.
Bagaimanapun, aksi peringkat kumpulan gagal memperlihatkan penguasaan England apabila mereka terikat dalam dua perlawanan ketika menentang Denmark dan Slovenia, malah hanya menang tipis 1-0 ke atas Serbia pada aksi pembukaan.
Ketika skuad kali ini menyaksikan ramai pemain berbakat di bahagian serangan melibatka Jude Bellingham, Harry Kane, Bukayo Saka dan Phil Foden, namun mereka hanya berjaya meledak dua gol menyebabkan kredibiliti Southgate tercabar.
Bagaimanapun, pengurus tersebut masih yakin dengan kemampuan para pemain dan tidak berminat untuk mengambil peduli mengenai kritikan daripada pihak luar, sebaliknya mahu memberi fokus untuk membantu England mara lebih jauh.
“Saya tidak terkesan dengan apa jua kritikan. Apa sahaja pandangan anda terhadap saya, anda sepatutnya terus kekal menyokong pasukan ini dan itu adalah keutamaan.
“Para pemain sangat gembira untuk bermain bersama England sejak enam atau tujuh tahun lalu dan ia perlu dikekalkan. Jika anda tidak sukakan saya, saya tidak ada masalah, tetapi tolong beri sokongan kepada pemain,” katanya.
Southgate dikritik hebat sebelum ini ekoran pemilihan pemain apabila Kieran Trippier digunakan sebagai pemain pertahanan kiri yang juga berfungsi sebagai bek tengah apabila Luke Shaw terus berdepan masalah kecergasan.
Menentang Slovakia menyaksikan pengendali tersebut mungkin terpaksa membuat pertaruhan paling getir dengan menurunkan Shaw yang tidak beraksi sejak Februari lalu
Selain itu, beliau juga mungkin memberikan aksi debut kesebelasan utama buat pemain muda, Kobbie Mainoo bagi membentuk gandingan bersama Declan Rice selepas dua gandingan pemain Arsenal itu sebelum ini iaitu Trent Alexander-Arnold dan Connor Gallagher gagal menyengat. – AGENSI