NEVADA – Dua gol Vinicius Junior di babak pertama menjulang kemenangan 4-1 Brazil ke atas Paraguay pada aksi kedua Kumpulan D Copa America di Stadium Allegiant, Las Vegas pagi semalam.
Perlawanan ini berlangsung agak tegang apabila menyaksikan lima layangan kad kuning dan satu kad merah dikeluarkan oleh pengadil perlawanan.
Bagaimanapun, tiga mata kali ini menjadi reaksi balas positif daripada skuad Brazil yang memulakan kempen kali ini dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan Costa Rica dan dua jaringan kali ini membolehkan Vinicius menutup mulut pengkritiknya.
“Saya selalu katakan saya tidak pernah bermain untuk diri sendiri sebaliknya saya bermain untuk rakan sepasukan saya. Apabila saya bersama Brazil, saya akan bermain untuk negara dan saya akan cuba lakukan sehabis baik.
“Hari ini (semalam) saya berjaya beraksi baik namun saya tahu saya mampu tampil lebih baik lagi untuk bantu Brazil berada di kedudukan sepatutnya. Kami akan terus bekerja keras untuk mencapai misi memenangi Copa America,” katanya.
Dua lagi gol skuad Selecao dihasilkan oleh Savio dan Lucas Paquetá, manakala jaringan tunggal Paraguay dicipta oleh Omar Alderete.
Ini juga adalah jaringan pertama Vinicius daripada permainan terbuka buat Brazil sejak kali terakhir melakukannya pada perlawanan Piala Dunia 2022 menentang Korea Selatan.
Ketika ini, Brazil hanya berada di tempat kedua Kumpulan D dengan empat mata dibelakang Colombia yang kekal dengan mata maksimum daripada dua perlawanan.
“Sepanjang 40 minit pertama, permainan masih lagi seimbang dan kami mampu memberikan cabaran kepada Brazil. Kami juga berjaya mencipta peluang namun tiga minit selepas itu (minit ke-43) Brazil menjaringkan gol kedua.
“Jaringan itu memberikan jurang pemisah buat kedua-dua pasukan dan jadi detik penting kepada keputusan kali ini. Tidak boleh diragukan lagi Vinicius adalah pemain elit,” kata pengendali Paraguay, Daniel Garnero. – AGENSI