fbpx

Bunga sorok ‘status isteri’ sementara waktu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUNGA bakal muncul dengan album debut tidak lama lagi dan itu yang menjadi keutamaan seninya.

MEMAHAMI status terkini menjadi tanda tanya, senyuman mekar menguntum di bibir wanita berusia 24 tahun itu bagai memahami persoalan yang ingin diluahkan Pose.

“Saya dah tahu apa yang hendak ditanya. Memang ada berita mahu saya kongsikan, cuma bukan sekarang,” ujarnya ringkas seraya tertawa kecil.

Sambil memandang wakil syarikat rakaman Warner Music Malaysia yang menemaninya di studio Media Mulia, bicaranya terhenti seketika.

Meneruskan perbualan yang pada awalnya sarat cerita misi perjuangan dan jatuh bangun lebih enam tahun bertapak di arena muzik, tiap bait ayat diatur cukup tertib.

Barangkali enggan tersilap bicara, Bunga dalam nada teruja tetap melayani pertanyaan peribadi termasuk berkenaan tangkap layar jemputan maya berkaitan majlis pernikahannya.

BUNGA Isme akan berkongsi kebenaran dakwaan bahawa dirinya sudah berumah tangga apabila tiba masa yang tepat. Foto | FARIZ RUSADIO

Dalam paparan itu menunjukkan hari bersejarah dengan Amzar yang dikenali sejak lima tahun lalu berlangsung pada 14 Oktober 2023 selain diadakan secara tertutup di sebuah villa di Kuang, Selangor.

“Beginilah, bukan mahu berahsia atau cuba menyembunyikan perkara baik sebab saya sangat suka kongsi khabar menggembirakan saya dengan semua orang.

“Tetapi ada sesuatu perkara yang buatkan saya kena tunggu masa sesuai kerana melibatkan banyak pihak.

“Saya harap anda semua dapat memahami situasi ini. Insya-Allah kita tunggu harinya nanti,” ujar pelantun lagu Buai itu dengan teruja.

Tunggu album

Diasak pula mengenai ‘benda’ yang menjadi kekangan perkongsian peribadi, menurutnya perkara tersebut bukan negatif sebaliknya hal positif berkaitan album.

Katanya sekian lama menanti, akhirnya proses pembikinan buah tangan sulung yang dijangka dapat dilancarkan sekitar Oktober nanti hampir sempurna.

Baginya, album yang akan memuatkan 10 lagu itu menjadi pengukuh laluan sebagai penggiat seni muzik, sekali gus sandaran mencuba nasib di negara jiran terutama Indonesia.

“Bukan tidak peduli hal peribadi, cuma rancangan sempurnakan album serta misi ke seberang sudah direncanakan sejak 2022.

“Adalah tidak adil kalau saya biarkan fokus beralih kepada keperluan diri sedangkan ramai insan sekeliling sudah membantu melancarkan urusan kerjaya saya.

“Insya-Allah, jika tiada aral buah tangan pertama bakal bertemu khalayak akhir tahun ini disusuli rencana mengadakan jelajah di Indonesia bersama beberapa artis Warner lain, selepas itu baru boleh fokus hal peribadi,” tambahnya.

Nyaris berhenti

Tetap bersyukur perjalanan kerjaya serta kehidupan berjalan lancar, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran itu turut melalui sepak terajang sebagai pelajar sepenuh masa serta penyanyi.

Kini dalam pembikinan album sulung yang dinantikan hampir dua tahun serta misi menembusi pasaran Indonesia membuatkan soal peribadi terpaksa ditolak ke tepi. Solekan | DANIEY JUNAEDY 

Biar pernah menangis berulang kali sehingga nyaris berhenti belajar, akhirnya dia dapat menggembirakan ibu dan insan tersayang dengan skrol ijazah sebagai hadiah.

“Beza belajar ketika diploma dan ijazah kerana saya juga belajar sepenuh masa selain berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Seremban hampir setiap hari.

“Keluar awal pagi, sampai rumah kalau kelas hingga ke petang sekitar 10 malam, manakala hujung minggu pula saya penuhi undangan persembahan.

 

Bunga bersyukur dapat menamatkan pengajian dan meraih skrol ijazah sarjana muda biarpun pernah nyaris berhenti di separuh jalan. Tatarias | STYLEDBYNANA

“Apa pun pengorbanan masa serta tenaga sangat berbaloi dan kerana itu saya enggan hilang fokus,” ulasnya yang kini turut memiliki rumah hasil pendapatan nyanyian.

Menurut Bunga lagi, atas kesibukan jadual juga ada pihak yang menganggapnya menyombong apabila kadangkala mesej atau panggilan tidak berjawab.

Bahkan ketika berada di luar juga dia dikatakan sukar didekati sedangkan hakikatnya Bunga mengakui dirinya sebagai individu introvert.

“Siapa yang mahu dicop sombong? Itu antara perkara yang saya sangat takut dan elakkan sebab saya bukan sesiapa. Hanya penyanyi kecil.

“Harapnya tiada orang salah faham. Saya senang berkawan dengan sesiapa sahaja, cuma mungkin sikap pemalu buatkan saya sukar mulakan perbualan.

“Saya takut tersalah bual. Itu sahaja, apa pun saya bukan seorang yang pilih bulu jika bersahabat,” ujar Bunga menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI