BANGKOK – Sebuah bom kereta yang diletupkan berhampiran flat polis di Bannang Sata, wilayah Yala menyebabkan seorang terbunuh dan sebilangan lagi mangsa cedera, lapor laman berita Thaiger.
Letupan berlaku sekitar pukul 10.30 pagi (waktu tempatan) hari ini, hanya beberapa ratus meter dari balai polis tempatan.
Bom kereta itu meletup di hadapan bangunan penempatan anggota polis yang terletak di daerah Bannang Sata. Laporan awal menyebut bahawa sebilangan mangsa cedera namun, jumlah sebenar mereka tidak dapat dipastikan.
Beberapa laporan lain menyebut bahawa 18 orang cedera dalam serangan itu.
Letupan kuat yang berlaku menyebabkan beberapa kediaman sekitarnya dan bangunan flat polis tersebut mengalami kerosakan. Seorang mangsa terbunuh akibat melecur teruk tetapi identitinya tidak didedahkan.
Sebilangan individu yang mengalami cedera ringan pula dihantar ke Hospital Bannang Sata untuk dirawat, demikian menurut laman berita Khaosod.
Sementara itu, satu serangan bom lain menyebabkan enam anggota keselamatan tempatan cedera di Daerah Airong, wilayah Narathiwat. Mereka diserang semasa meronda untuk melindungi beberapa orang guru sekolah.
Kumpulan penyerang dalam kejadian itu melarikan diri selepas berbalas tembakan dengan pasukan polis. – AGENSI