fbpx

BN guna lambang sendiri pada PRU16 – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID bersama perwakilan UMNO Maran pada Mesyuarat UMNO Bahagian Maran di Maran hari ini.

MARAN – Barisan Nasional (BN) akan bertanding menggunakan lambang parti itu sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Pengurusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut bukan bererti BN lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini.

“Insya-Allah, pilihan raya umum (PRU) akan datang, kita akan gunakan lambang BN. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan kerajaan Perpaduan. Maksudnya, PH boleh tanding guna lambang PH dan kita tanding dengan lambang kita tetapi daripada segi kerjasama kita jalinkan.

“Asalkan kawasan yang kita bertanding itu, tidak ditandingi oleh mereka (PH) dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka tanding itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO telah menyenarai pendek beberapa calon boleh menang dan diterima rakyat untuk diangkat mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan yang dijadualkan pada 17 Ogos depan.

Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan dengan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Badan Perhubungan UMNO Kelantan sebelum senarai calon yang disenarai pendek tersebut dimuktamadkan.

Difahamkan, tiga nama disenarai pendek oleh UMNO Gua Musang untuk diangkat kepada pimpinan parti tersebut sebagai calon PRK DUN Nenggiri iaitu Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.

Ketiga-tiga calon berkenaan dikatakan diputuskan pada mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang semalam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI