BENTONG – Empat termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera selepas trak pikap dinaiki mereka hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 47.3 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian kira-kira pukul 1.27 tengah hari itu berlaku ketika mangsa yang menaiki kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Jeli, Kelantan manakala MPV dari arah yang sama.
“Hasil siasatan awal mendapati MPV telah bergesel dengan sebuah trak pikap milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang dipandu di sebelah kanan laluan berkenaan.
“Akibat kemalangan kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan manakala empat penumpang lain terdiri daripada seorang kanak-kanak ellaki berusia lima tahun dan tiga perempuan masing-masing berusia 15 hingga 39 tahun yang berada dalam kenderaan milik Jakoa mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Bermula semalam tular dalam media sosial klip video berdurasi 23 saat yang memaparkan kemalangan membabitkan sebuah trak pikap yang bergesel dengan sebuah MPV sebelum terbabas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
Menurut Zaiham mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan giat dilakukan.
“Polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan dan polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta mematuhi had laju ditetapkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE