KUANTAN – “Selepas trak pikap berpusing beberapa kali dan berhenti, saya terkejut apabila melihat tiada seorang penumpang di belakang kerana mereka sudah tercampak keluar.”
Demikian kata pemandu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Abdullah Ali Abdul Rahman, 58, ketika menceritakan detik cemas selepas kenderaan dipandunya terlibat kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 47.3, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di Bentong semalam.
Menurut lelaki itu, biarpun badannya sakit, namun ketika itu dia hanya memikirkan nasib pesakit Orang Asli yang terdiri daripada ibu serta tiga anak.
“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan membawa pulang pesakit Orang Asli dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke Rompin.
“Sewaktu melalui selekoh, kenderaan dipandu saya bergesel dengan MPV sebelum berpusing beberapa kali. Empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak tercampak keluar,” katanya.
Abdullah Ali yang bertugas sebagai pemandu Jakoa Pahang sejak 28 tahun lalu menyifatkan kemalangan pada pukul 12.05 tengah hari semalam adalah yang paling teruk dialaminya setakat ini.
“Alhamdulillah. Allah masih memanjangkan usia saya tanpa sebarang kecederaan serius. Mangsa lain juga cedera ringan kecuali seorang kanak-kanak yang tercampak,” katanya.
Bapa dua anak itu berkata, dia menerima rawatan di Hospital Pekan dan doktor mengesahkan dia tidak mengalami kecederaan serius kecuali bengkak di badan. – KOSMO! ONLINE