LIPIS – Calon daripada UMNO akan diletakkan bagi mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang dijadualkan pada 18 Ogos depan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengarah Operasi bagi PRK DUN Nenggiri.
“Di sini ada pemimpin tempatan dan ada pemimpin negeri, itu kaedah UMNO pemimpin tempatan dan negeri menjadi kombinasi ini yang akan dapat diberikan kemenangan kepada kita.
“‘Standing instruction’ saya UMNO Pahang wajib bantu calon kita di DUN Nenggiri,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Lipis di Dewan Jubli Perak di Lipis hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos depan bagi hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang mana tarikh penamaan calon pula pada 3 Ogos, manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos depan.
PRK berkenaan melibatkan sejumlah 20,259 pemilih terlibat terdiri 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis membabitkan peruntukan kos kira-kira pilihan raya sebanyak RM1.6 juta.
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu berdasarkan maklumat yang diperolehi Perikatan Nasional (PN) cuba untuk menawan Pahang dalam pilihan raya umum akan datang.
Justeru beliau berharap pemimpin UMNO akar umbi di Pahang dapat bekerja keras memastikan Barisan Nasional (BN) akan terus menerajui Pahang.
“Saya harap pemimpin UMNO dan Pahang jangan pernah izinkan mereka dapat kemenangan hingga membentuk kerajaan dan menawan pahang, kita mahu UMNO dan BN terus memerintah Pahang,” ujarnya. – KOSMO ONLINE