fbpx

Penyeludup makin ‘panas’, MO seludup petrol bocor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEKAN Rantau Panjang dan Pekan Golok yang dipisahkan oleh Sungai Golok. - GAMBAR HIASAN

MINGGU lalu, sekumpulan penyeludup bertindak berani melepaskan tiga das tembakan ke arah lima anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Kejadian tersebut berlaku semasa pasukan Operasi Penguatkuasaan (Marin) Kastam Kelantan cuba menahan kumpulan lelaki yang sedang menyeludup petrol dan diesel ke Thailand di Pangkalan Haram Pok Mat, Tumpat.

Ketika itu, terdapat kira-kira 15 buah bot berenjin galah sedang memunggah tong-tong dipercayai mengandungi minyak petrol dan diesel di pangkalan haram tersebut.

Baru-baru ini, penulis berpeluang mengikut agensi penguatkuasaan meninjau kawasan sempadan selepas kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel sejak 10 Jun lalu.

Berdasarkan maklumat, penyeludup ketika ini terpaksa mengubah strategi dengan lebih cenderung menyeludup petrol ke Siam berbanding diesel yang dilihat sudah tidak menguntungkan mereka.

Perkara tersebut turut diakui Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali yang menyatakan situasi berkenaan ekoran penyasaran subsidi diesel.

Mengulas mengenai kes tembakan di sempadan, penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kejadian itu menunjukkan satu indikator bahawa kumpulan penyeludup ketika ini takut dan berhati-hati selepas kegiatan mereka sentiasa dipantau pihak berkuasa.

Menurutnya, beliau percaya sindiket penyeludup tiada pilihan lain apabila bertindak berani melepaskan tembakan selepas taktik kegiatan penyeludupan sudah dapat dibaca oleh pihak berkuasa.

“Secara hakikatnya, kegiatan penyeludupan terutamanya di Kelantan berlaku sejak puluhan tahun lalu. Jadi, usaha untuk membasminya pasti akan memakan masa.

“Kejadian tembakan baru-baru ini menunjukkan bahawa pihak kastam bersungguh-sungguh dalam mengekang kegiatan penyeludupan meskipun berdepan sebarang kemungkinan untuk kehilangan nyawa,” katanya.

Shahul Hamid memberitahu, beliau percaya kumpulan penyeludup ketika ini bimbang untuk melakukan kegiatan mereka selepas melihat kesungguhan penguatkuasaan pihak berkuasa.

Menurutnya, tindakan melepaskan tembakan itu merupakan langkah akhir penyeludup agar mereka tidak dicekup pihak berkuasa.

“Mengikut teori asas kriminologi, seseorang tidak akan mudah melepaskan tembakan rambang dan tidak menyasarkan kepada sasarannya jika individu itu tidak berasa terancam.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa terutamanya polis, kastam dan imigresen perlu sentiasa berwaspada kerana kumpulan penyeludup pastinya akan menunjukkan taring dengan cuba melakukan kekasaran dan menakutkan anggota bertugas kerana kegiatan mereka diganggu.

“Pastinya taktik menyeludup petrol dan diesel sudah lama ada di dalam poket pihak berkuasa. Mungkin agensi-agensi di sempadan akan lebih bekerja keras untuk mengekang kegiatan itu sejak akhir-akhir ini,” ujarnya.

Beliau berkata, selain penyeludup, pihak berkuasa juga perlu mengesan individu yang bersekongkol dalam membekalkan petrol dan diesel sebelum ia dibawa secara haram ke Siam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI