GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar reka bentuk projek kereta kabel Bukit Bendera mempunyai kelainan dalam seni rekaannya selain memaparkan aspek budaya masyarakat Pulau Pinang.
Selain itu, Anwar berkata, beliau juga mahu reka bentuk projek berkenaan turut memaparkan keindahan alam sekitar Bukit Bendera yang unik dan mempunyai sejarah bukan sahaja di Malaysia, namun di rantau ini.
Ini kerana, Anwar menjelaskan dalam usaha untuk mempromosikan Bukit Bendera dengan teknologi moden, semua pihak mesti memikirkan tentang soal alam sekitar dan pembangunan budaya di Pulau Pinang.
“Saya apabila bicara soal pembangunan baharu, saya sangat terkesan dengan kata-kata Mark Twain yang menyebut tentang keperluan binaan bangunan yang mengambil kira aspek seni binanya di mana yang utama ialah soal budaya, jangan gersang budaya.
“Bukit Bendera agak unik perancangannya dengan mengambil kira aspek tentang persekitaran, cuma saya tekankan sedikit tentang aspek budaya supaya ada keindahan, kelainan dalam seni bina itu di mana aspek budaya yang diserasikan dengan budaya Pulau Pinang.
“Saya bukan arkitek, tetapi Tan Sri (Ravindran Menon) boleh fikir untuk ubah suai sedikit supaya kita nampak keindahan Bukit Bendera yang unik dan bersejarah di Pulau Pinang, Malaysia dan rantau ini,” katanya dalam ucapan perasmian dan majlis pecah tanah projek kereta kabel Bukit Bendera di Taman Botani, di sini hari ini.
Jajaran kereta kabel ini akan bermula dari stesen Taman Ekonomi yang sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera.
Laluan kereta kabel ini adalah sepanjang 2.73 kilometer dan akan dilengkapi dengan 50 gondola lapan tempat duduk, dengan masa perjalanan kurang dari 10 minit. – KOSMO! ONLINE