PETALING JAYA – Pelakon jelita Nora Danish membuat kejutan apabila memuat naik fotonya memakai hijab dalam satu hantaran Instagram hari ini.
Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, mencuri perhatian selepas memuat naik tiga keping foto dia memakai ‘hoodie’ berona kelabu dan mengenakan hijab berwarna hitam.
Meskipun menutup ruangan komen hantaran tersebut namun tetap dihujani dengan banyak tanda ‘likes’ oleh rakan-rakan artis dan netizen.
Bagaimanapun menerusi Instagram Stories, Nora mengulang siar tulisan secara rawak tentang kesederhanaan atau modesty dalam berpakaian.
“Berhenti simpan pakaian dan kasut untuk acara-acara tertentu (istimewa). Gayakan sahaja apabila anda mahu.
“Mutakhir ini, berpeluang untuk terus hidup itulah satu keraian yang istimewa,” katanya seperti dipetik tulisan yang diulang siar.
Nora yang cukup dikenali menerusi sitkom Puteri sebelum ini kerap dilihat memakai hijab ketika menghadiri majlis ilmu.
Terdahulu, Nora dan bekas suaminya Nedim Nazri bercerai pada 19 Jun lalu susulan pendedahan aktres tersebut berkenaan rumah tangga yang dibina sejak 2017 sedang bergolak.
Namun, aktres itu memaklumkan bahawa dia sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani situasi yang berlaku dengan sebaik mungkin agar tidak terjadi perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada anak.
Baru-baru ini juga, Nora turut memuat naik video yang mengetengahkan mesej seorang suami harus membimbing isteri ke jalan Allah. – KOSMO! ONLINE