SEBERANG PERAI – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru orang Melayu keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini sekiranya tidak mahu melihat negara ‘terlungkup’.
Beliau berkata, setiap undi amat bernilai dan negara akan terlungkup sekiranya orang Melayu tidak keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Katanya, undi bukan hanya untuk mengisi kekosongan kerusi semata-mata, malah menjadi isyarat penolakan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Saya tak kata orang Melayu ini kurang kuasa, suara orang Melayu ini kecil. Orang tak nak dengar…sudahlah tapi bilangannya ramai.
“Kalau ada 1,000 pengundi Melayu, yang datang cuma 500, mana pergi lagi 500? Tidur? Tak ada rasa tanggungjawab kah?
“Boleh tak kali ini orang Sungai Bakap semua keluar mengundi? Pengundi ada dekat 38,000, biar kali ini Cina, India, Melayu keluar mengundi maka peratusnya akan menjadi 100 peratus dan saya pasti Insya Allah ‘gerenti’ Perikatan Nasional (PN) akan menang,” katanya dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional
Pilihan Raya Kecil N.20 Sungai Bakap Unit Daerah Mengundi (UDM) Puteri Gunung 2 di sini malam tadi. -KOSMO! ONLINE