GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di negeri-negeri lain mencontohi LHDN Pulau Pinang yang berjaya mencatatkan kutipan hasil yang tinggi.
Anwar berkata, LHDN Pulau Pinang telah mencatatkan kutipan hasil yang melebihi unjuran pada suku pertama tahun ini.
“Kita minta negeri-negeri lain usahakan juga (catat kutipan hasil yang tinggi), kita tidak mahu ada kebocoran atau keciciran (kutipan hasil),” katanya selepas merasmikan Menara Hasil Pulau Pinang, di sini hari ini. Turut hadir ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.
Untuk rekod, prestasi pencapaian kutipan cukai LHDN di Pulau Pinang sehingga 31 Mei 2024 ialah sebanyak RM 3.542 bilion, dan ia adalah satu pencapaian yang positif berbanding dengan sasaran kutipan yang ditetapkan bagi negeri Pulau Pinang bagi tempoh yang sama.
Momentum positif ini akan diteruskan bagi mencapai sasaran tahunan LHDN Pulau Pinang sebanyak RM8.099 bilion.
Mengulas lanjut, ketika berucap, Anwar berkata, cabaran semua pihak adalah Malaysia berada pada landasan percukaian yang terendah di Asia di mana pembayar cukai membayar cukai pada kadar yang rendah.
Tambah Perdana Menteri, beliau yakin dengan kecekapan dan keupayaan pasukan LHDN, kutipan hasil akan dapat menjadi lebih baik pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE