KUALA LUMPUR – Golongan muda dinasihatkan untuk mengingati bahawa memiliki anak bukanlah satu beban namun merupakan amanah dan rezeki kurniaan Allah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau bersetuju dengan fatwa yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini bahawa makruh hukumnya buat pasangan yang mengamalkan trend ‘childfree’.
Ujarnya, trend tersebut akan menyebabkan sesebuah unit keluarga tidak dapat berkembang sekali gus elemen sakinah, mawaddah, warahmah (ketenangan hati, kasih sayang, rahmat) tidak dapat dibentuk dengan sebaiknya.
“Hadis Nabi Muhammad SAW menyebut bagaimana Rasulullah menyebut ‘kahwini lah wanita-wanita yang ada sifat kasih sayang, yang boleh melahirkan anak ramai. Sesungguhnya aku berasa bangga kepada umatku yang ramai pada Hari Kiamat’. Itu kedudukan sunnah dan apa yang Rasulullah SAW sebut.
“Selain itu ada juga hadis Nabi berkata apabila mati anak Adam, terputus amalan seseorang kecuali tiga. Disebut situ salah satunya adalah anak soleh yang mendoakan ibu bapa yang meninggal dunia.
“Berdasarkan kedua-dua hadis itu, saya ingin menasihatikan, khususnya golongan muda sekarang untuk memikirkan bahawa anak-anak bukan beban. Anak yang lahir adalah amanah dan rezeki daripada Allah. Itu keyakinan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Anak Muda Hero Keluarga Sempena Sambutan Hari Bapa 2024, di Universiti Teknologi Malaysia, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tambah beliau, dari sudut perancangan keluarga kerana kekangan kewangan atau kesihatan, ianya tidak salah di sisi agama dan dibenarkan mengikut nasihat pakar kesihatan.
“Yang saya faham golongan ‘childfree’ ini memang langsung tak nak anak, sebab dia rasa anak itu beban. Itu yg salah. Mereka (golongan childfree) masih lagi nak gembira macam zaman bujang dahulu.
“Harus diingatkan setiap perkahwinan datang dengan tanggungjawab. Saya yakin dengan kelahiran anak tadi, bersama ibu bapa akan melahirkan sakinah mawadaah warahmah dalam keluarga.
“Cuma saya nak tekankan bahawa suami, isteri dan anak-anak perlu jalankan tanggungjawab masing-masing. Bila mana unit-unit keluarga ini faham, Nabi akan merasa bangga dengan umatnya yang ramai dan berkualiti,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! dalam satu laporan khas melaporkan sejak pandemik Covid-19, ada pasangan di negara ini yang berkahwin, namun memilih untuk tidak memiliki anak atau childfree terutama melibatkan golongan muda.
Antara alasan yang diberikan adalah tidak bersedia bergelar ibu bapa, selesa hidup berdua dengan pasangan dan kenaikan kos sara hidup.
Pakar Motivasi dan Kaunseling Rumah Tangga, Hushim Salleh berkata, situasi itu menyebabkan ada pasangan yang mendirikan rumah tangga berkira-kira untuk memiliki cahaya mata kerana perlu menyediakan peruntukan besar sehingga RM400,000 seorang bagi membesarkan zuriat masing-masing. – KOSMO! ONLNE