TIDAK dinafikan, baung merupakan antara spesies ikan sungai yang kerap kali menjadi buruan para kaki pancing.
Banyak mendiami sungai-sungai berskala besar seperti Sungai Selangor, Sungai Perak dan Sungai Pahang, ikan baung boleh membesar sehingga melebihi berat 30 kilogram (kg).
Selain mempunyai daya lawan yang kuat ketika membaham umpan, struktur isinya yang enak juga menjadi antara faktor ia kerap dijadikan ikan buruan.
Perkara itu diakui seorang kaki pancing, Ahmad Hawary Abdul Hamid, 36, yang kerap menjadikan Sungai Selangor dan beberapa batang sungai di sekitar Rawang, Selangor termasuk Sungai Bestari Jaya sebagai ‘port’ memburu spesies tersebut.
“Saya memilih ikan baung sebagai buruan kerana henjutannya yang kuat ketika melawan tarikan tali pancing.
“Malah, saiznya yang besar sehingga mencecah lebih 30 kg juga membuatkan ia antara spesies ikan sungai yang seronok untuk dipancing, sekali gus menjadi ‘kegilaan’ bagi sesetengah pemancing,” katanya.
Menurut anak jati Rawang itu lagi, disebabkan ‘kegilaannya’ memburu baung, dia juga menghasilkan umpan tapa kapas khusus untuk memancing ikan itu, selain turut dijual kepada pelanggan.
Ujar lelaki yang mesra disapa Hawary itu, permintaan tinggi terhadap umpan dihasilkannya adalah daripada rakan-rakan pemancing selepas melihat hasil tangkapan diperoleh.
“Untuk memburu baung sama ada baung ekor kuning atau baung ekor merah, saya akan menggunakan umpan tapa kapas buatan sendiri.
“Kebiasaannya, umpan tapa kapas yang saya hasilkan ini tidak pernah mengecewakan dan saya jarang pulang dengan tangan kosong.
“Malah, ada suatu ketika, saya pernah menaikkan ikan baung seberat 27.4 kg ketika memancing di Sungai Bestari Jaya.
“Biasanya, saya kerap mendaratkan ikan baung bersaiz sederhana antara sekilogram hingga 5 kg bergantung kepada keadaan dan lokasi,” katanya.
Tambah Hawary, selain umpan tapa kapas, dia juga kerap menggunakan umpan hidup seperti anak ikan kerana ia merupakan diet baung liar.
Selain itu, terdapat pemancing yang menggunakan beberapa umpan lain seperti cacing, cengkerik, udang serta ulat, tetapi ia kurang efektif berbanding tapa kapas dan anak ikan.
Ketika ditanya mengenai kaedah memancing ikan baung, dia berkata, ikan berkenaan aktif memburu mangsa pada waktu malam.
Malah katanya, ikan berkenaan juga akan aktif berada di kawasan lubuk ketika air bergerak perlahan.
“Sebab itulah ramai pemancing yang menahan taut atau tajur pada waktu petang serta malam kerana ikan baung kerap memakan umpan pada waktu itu.
“Bagaimanapun, baung juga boleh dipancing pada waktu siang terutamanya awal pagi kerana waktu itu ikan aktif mencari makanan,” katanya.
Mengenai set joran yang digunakan pula, Hawary memberitahu, dia kerap menggunakan set medium dengan tali bersaiz antara 40 hingga 50 paun.
Bagi set joran jenis ‘heavy’ pula, dia akan memadankan dengan tali bersaiz antara 80 hingga 130 paun agar dapat menahan daya kekuatan tarikan ikan bersaiz besar.
Mengulas lanjut, dia memberitahu, bagi memburu baung, dia lebih gemar memancing di kawasan tebing sungai yang mempunyai longgokan ranting kayu atau pokok tumbang. Ini kerana, spesies ikan baung lebih gemar menjadikan kawasan seperti itu sebagai lubuk untuknya bermain dan mencari makanan.
“Kebanyakan kaki pancing sudah tahu bahawa kawasan reba dan longgokan kayu memang menjadi lubuk baung.
“Cuma, lubuk seperti ini sangat mencabar kerana tali pancing akan mudah tersangkut pada ranting-ranting kayu yang terendam di dalam sungai.
“Jika tersilap langkah, pemancing akan berputih mata apabila tali pancing terputus,” ujarnya.